Masalah kesuburan lelaki menyumbang 45% kepada kesukaran hamil, dengan 60% sampel sperma tidak normal, kata pakar LPPKN.
KUALA LUMPUR: Masalah kesuburan dalam kalangan lelaki menyumbang hampir separuh punca pasangan sukar mendapatkan zuriat.
Pegawai Perubatan Pusat Kepakaran Subfertiliti LPPKN Dr Ahmad Zaki Asraf berkata isu itu masih kurang dibincangkan dan sering disalahertikan sebagai masalah wanita semata-mata.
“Dalam masyarakat, apabila pasangan gagal hamil, wanita sering menjadi pihak yang dipersalahkan sedangkan realitinya lelaki juga mempunyai peranan besar,” katanya.
Beliau memetik data Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang menunjukkan faktor lelaki menyumbang kira-kira 45% kepada masalah kesuburan pasangan.
Analisis sperma di LPPKN menunjukkan kira-kira 60% sampel sperma lelaki didapati tidak normal.
Ia melibatkan tiga aspek utama iaitu bilangan, pergerakan dan bentuk sperma.
Bilangan sperma sihat sepatutnya melebihi 15 juta bagi setiap mililiter dengan pergerakan aktif melebihi 32%.
Sekurang-kurangnya 4% sperma perlu mempunyai bentuk normal.
Kegagalan memenuhi mana-mana kriteria itu boleh menjejaskan peluang kehamilan secara semula jadi.
Dr Ahmad Zaki berkata faktor gaya hidup seperti obesiti dan tabiat merokok antara penyumbang utama yang boleh diubah.
Peningkatan berat badan boleh menyebabkan ketidakseimbangan hormon lelaki dan menjejaskan penghasilan sperma.
“Merokok pula bukan sahaja memberi kesan kepada paru-paru malah bahan kimia dalam asap rokok boleh memasuki aliran darah dan menjejaskan fungsi organ pembiakan,” katanya.
Sebahagian lelaki turut mengalami gangguan seksual seperti disfungsi ereksi dan ejakulasi pramatang.
Tinjauan kesihatan kebangsaan menunjukkan kira-kira tiga daripada 10 lelaki di Malaysia mengalami masalah mati pucuk.
Ini termasuk dalam kalangan lelaki muda berusia 20 hingga 35 tahun.
Faktor psikologi, tabiat tidak sihat dan penggunaan bahan lucah dikenal pasti antara punca utama.
LPPKN menubuhkan Klinik Kesejahteraan Lelaki untuk menyediakan saringan kesihatan, kaunseling dan rawatan.
“Lelaki juga mempunyai emosi dan tekanan tersendiri. Apabila diberi ruang selamat untuk bercakap, ramai yang sebenarnya mahu mendapatkan bantuan,” kata Dr Ahmad Zaki.








