Rapid KL lanjut operasi perkhidmatan rel hingga 2 pagi dan bas hingga 2.30 pagi pada malam ambang tahun baharu bagi kemudahan penumpang
KUALA LUMPUR: Rapid KL akan melanjutkan waktu operasi perkhidmatan rel hingga 2 pagi sempena sambutan ambang tahun baharu 2026 pada Rabu ini.
Perkhidmatan Bas Rapid Transit Laluan Sunway serta beberapa laluan bas terpilih dan Rapid KL On-Demand akan beroperasi hingga 2.30 pagi pada 1 Januari 2026.
Prasarana Malaysia Berhad memaklumkan langkah itu bertujuan memastikan pergerakan penumpang selepas acara sambutan berjalan dengan lebih selamat, terkawal dan teratur.
Lanjutan operasi berkenaan melibatkan 20 stesen rel, tujuh stesen BRT, 21 laluan bas utama dan perantara serta sembilan zon perkhidmatan on-demand.
Bagi Laluan Kelana Jaya, stesen yang terlibat ialah Pasar Seni, Masjid Jamek, KLCC, Ampang Park, Kampung Baru dan USJ 7.
Laluan Ampang atau Sri Petaling melibatkan stesen Hang Tuah, Masjid Jamek dan Maluri, sementara perkhidmatan Monorel melibatkan stesen Bukit Bintang dan Hang Tuah.
Laluan Kajang pula melibatkan stesen Pasar Seni, Tun Razak Exchange, Bukit Bintang, Maluri, Mutiara Damansara dan Cochrane.
Laluan Putrajaya melibatkan stesen Tun Razak Exchange, Persiaran KLCC dan Ampang Park.
Bagi BRT Laluan Sunway yang beroperasi hingga 2.30 pagi, stesen terlibat ialah Sunway-Setia Jaya, Mentari, Sunway Lagoon, SunMed, SunU-Monash, South Quay dan USJ7.
Stesen selain yang disenaraikan akan menamatkan operasi seperti biasa namun pengguna masih dibenarkan keluar dari stesen berkenaan.
Kekerapan tren akan dipertingkatkan di semua laluan rel bermula 7.30 malam, 31 Disember hingga 2 pagi pada 1 Januari.
Waktu perkhidmatan bagi beberapa laluan bas terpilih dan perkhidmatan on-demand turut dilanjutkan hingga jam 2.30 pagi.
Orang ramai disaran mengikuti saluran media sosial rasmi Rapid KL serta memuat turun aplikasi MyRapid PULSE untuk maklumat terkini.








