Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga rampas 96,000 batang rokok keretek bernilai cukai RM321,760 dan tahan seorang suspek di Pengkalan Kubor, Tumpat.
TUMPAT: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga berjaya menggagalkan satu cubaan penyeludupan 96,000 batang rokok keretek di Pengkalan Kubor, Tumpat.
Rampasan itu dibuat selepas sepasukan anggota PPM yang sedang meronda di perairan Sungai Golok menahan seorang lelaki berusia 31 tahun.
“Suspek yang ditahan memberikan kerjasama penuh semasa pemeriksaan dijalankan,” kata Komander PPM Wilayah Tiga ACP Zulafendy Hassan.
Pihak polis berjaya menemui 10 guni rokok keretek yang disembunyikan di ruang kargo sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Suspek dan kesemua barang rampasan bernilai cukai anggaran RM321,760 telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat.
Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Sepanjang tahun 2025, sebanyak 1.7 juta batang rokok seludup dengan nilai cukai RM4.1 juta telah berjaya dirampas.








