APM Kedah minta penduduk Kota Setar di kawasan berisiko bersedia berpindah jika banjir dari Kubang Pasu dan Pokok Sena merebak.
ALOR SETAR: Penduduk di Kota Setar yang tinggal di kawasan berisiko diminta bersedia untuk berpindah sekiranya limpahan air banjir dari beberapa daerah termasuk Kubang Pasu dan Pokok Sena turut menyebabkan bencana itu berlaku di daerah tersebut.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Lt Kol (PA) Mohd Bukhori Mat Sidik berkata pemantauan mendapati air mula mengalir ke Kota Setar dengan ada beberapa kawasan telah dinaiki air namun keadaan masih terkawal.
Beliau menyatakan APM dan agensi penguat kuasa lain sedang memantau sungai-sungai di Kota Setar dan berada dalam keadaan bersiapsiaga untuk memastikan penduduk di kawasan berisiko sentiasa peka.
“Kita tidak mahu insiden penduduk tidak mahu berpindah sehingga menyukarkan operasi menyelamat seperti mengharungi banjir pada waktu malam berlaku,” katanya selepas memantau di sekitar Sungai Kedah.
Mohd Bukhori berkata pemantauan mendapati beberapa mukim di Kota Setar telah dinaiki air antaranya Mukim Langgar yang melibatkan Kampung Tanjung Inggeris serta Mukim Anak Bukit meliputi Kampung Alor Gunung, Alor Madi, Alor Senjaya, Seberang Chegar dan Pantai Johor.
Keadaan sama juga berlaku di Mukim Titi Gajah dengan kampung yang terlibat ialah Alor Petang, Alor Senjaya, Bohor dan Seberang Titi Gajah manakala Mukim Tajar melibatkan Kampung Kuar dan Alor Pak Ngah.
Beliau menekankan bahawa air sudah naik tetapi masih terkawal sambil berharap cuaca baik dan tidak berlaku fenomena air pasang yang boleh menyebabkan banjir.
Dalam pada itu, Mohd Bukhori mengingatkan pengunjung pantai peka dengan arahan dikeluarkan untuk mengelakkan kejadian lemas kerana keadaan cuaca tidak menentu tidak sesuai untuk melakukan aktiviti air.
Beliau menambah bahawa Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora menjadikan keadaan berbahaya kepada bot kecil, aktiviti rekreasi dan sukan laut. – Bernama










