the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, July 2, 2026
28.5 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Capaian internet, taburan penduduk antara cabaran DOSM Sarawak jayakan pendaftaran PADU

KUCHING: Capaian internet di kawasan luar bandar dan situasi taburan penduduk di Sarawak menjadi antara cabaran yang perlu ditempuh pasukan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Sarawak untuk memastikan penduduk di negeri ini mendaftar dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Pengarah DOSM Sarawak Dayang Rozana Abang Hassan berkata mengambil kira keluasan Bumi Kenyalang yang merupakan negeri terbesar di Malaysia, pihaknya merancang membuat penyelarasan dengan ketua komuniti untuk bertindak sebagai ‘ejen’ kepada penduduk kawasan masing-masing bagi mengisi maklumat di Pusat Ekonomi Digital (PEDi).

“Penyelarasan perlu dibuat dengan penghulu, ketua kampung dan tuai rumah, untuk komuniti ini mempromosi dan memberi publisiti serta meminta penduduk kawasan masing-masing masuk (layari) portal PADU, kerana kita mahu galakkan mereka isi sendiri maklumat yang diperlukan.

“Untuk beberapa minggu ini, pegawai DOSM Sarawak tertumpu kepada lokasi PEDi sebab kita nak galakkan orang hadir dan isi sendiri di portal awam, dan sekiranya tidak berjaya, kami akan bimbing mereka secara terus di PEDi,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Dayang Rozana berkata rakyat yang berumur 18 tahun dan ke atas perlu diberikan penerangan sewajarnya manfaat mendaftar dengan PADU untuk membolehkan mereka membuat pengemaskinian maklumat isi rumah dan profil individu di sistem itu.

Katanya pegawai DOSM telah ditempatkan di 40 kaunter melibatkan 31 PEDi di Sarawak dan sembilan pejabat DOSM Sarawak, bermula dari 2 hingga 8 Jan ini untuk membantu orang ramai memahami kepentingan sistem berkenaan.

“Secara keseluruhan, Sarawak mempunyai 133 PEDi dan disebabkan kita kekurangan anggota untuk hadir di semua PEDi, kita buat secara bergilir-gilir, dan berusaha untuk mengunjungi semua 133 PEDi dalam masa sebulan berdasarkan tarikh tertentu,” katanya.

Memasuki hari ketiga pelancaran PADU, pengarah negeri itu memaklumkan orang ramai yang hadir ke PEDi setakat ini terdiri daripada mereka yang tidak bekerja seperti suri rumah serta warga emas dan jumlah itu dijangka meningkat pada hujung minggu.

Katanya perancangan lain untuk menjayakan pendaftaran PADU termasuk bekerjasama dengan pejabat daerah serta pihak berkuasa tempatan (PBT), selain mewujudkan ‘flying squad’ yang lebih tertumpu di kawasan bersasar khususnya di pedalaman.

“Untuk ‘flying squad’ kita akan berikan kemudahan seperti liputan Internet yang kuat jadi kita akan membawa Starlink dan buka kaunter untuk penduduk, namun lokasi akan dikenal pasti nanti selepas berbincang dengan pejabat daerah dan PBT,” katanya sambil menambah petugas ‘flying squad’ akan digerakkan oleh Ibu Pejabat DOSM.

PADU dibangunkan melalui kepakaran dalaman Kementerian Ekonomi, DOSM dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), dengan kerjasama dan sokongan pelbagai kementerian, agensi serta kerajaan negeri. –Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Malaysian unit trust industry expands

The assets under management (AUM) of unit trust companies in Malaysia increased by approximately RM27 billion, or 6%, to RM569.79 billion as of June 2025, driven by market and currency appreciation.

Healthcare sector to record 12% growth towards 2030

Malaysia’s healthcare sector is projected to record around 12% growth towards 2030, driven by an ageing population, rising chronic diseases, expanding private healthcare services, medical tourism and digital health adoption, according to Frost & Sullivan.

U Mobile completes transition to its own nationwide 5G network

Following its exit from the wholesale access agreement with Digital Nasional Bhd (DNB), U Mobile has successfully completed the migration to its own nationwide ULTRA5G network.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings