Dana Arab dan Islam biayai 210+ projek pembangunan di Tebing Barat, Gaza dan kem pelarian Lubnan dengan nilai US$72 juta
RAMALLAH: Dana Arab dan Islam membiayai lebih 210 projek pembangunan di Tebing Barat, Baitulmuqaddis Timur, Gaza serta kem pelarian Palestin di Lubnan bernilai US$72 juta.
Perdana Menteri Palestin Mohammad Mustafa membuat pengumuman itu pada majlis menandatangani perjanjian pelaksanaan projek di pejabatnya di Ramallah.
Projek-projek itu merangkumi sektor paling memerlukan termasuk pendidikan, tadbir urus tempatan, latihan vokasional dan kesihatan.
Dana Al-Aqsa yang diuruskan Bank Pembangunan Islam menyediakan US$32.7 juta manakala Dana Arab bagi Pembangunan Ekonomi dan Sosial menyumbang US$38.5 juta.
Kenyataan Pejabat Perdana Menteri menjelaskan projek ini sebahagian daripada program nasional pembangunan dan pemodenan melalui 10 inisiatif penting.
Usaha turut ditingkatkan bagi memperkukuh ketahanan rakyat Palestin walaupun berdepan pelbagai halangan.
Sumbangan ini hadir ketika Pihak Berkuasa Palestin berdepan krisis kewangan serius akibat tindakan Israel menyekat hasil cukai Palestin.
Mustafa menegaskan krisis itu berpunca secara langsung daripada sekatan Israel terhadap hasil cukai tersebut.
Kenyataan itu menggesa negara penderma dan rakan antarabangsa menekan Israel melepaskan dana tertahan serta menyediakan sokongan bajet segera.
Sejak 2019, Israel membuat potongan ke atas hasil cukai dan menghentikan pemindahan dana selama kira-kira enam bulan.
Jumlah tertunggak mencecah hampir US$4 bilion dan menjerumuskan Pihak Berkuasa Palestin ke dalam krisis kewangan.
Penasihat Perdana Menteri bagi Dana Arab dan Islam Nasser Qatami berkata peranan tabung itu tidak terbatas kepada pembiayaan semata-mata.
“Tabung ini menjadi rakan strategik dalam memperkukuh ketahanan rakyat Palestin,” katanya.
Beliau menyatakan sepanjang 23 tahun lalu, dana terbabit telah menyokong ribuan projek pembangunan di Tebing Barat dan kem pelarian di Lubnan.
Terdapat lebih 493,000 pelarian Palestin di Lubnan yang berdepan hidup sukar di kem-kem yang ditadbir puak Palestin.
Lebih separuh daripada mereka tinggal di 12 kem yang diiktiraf secara rasmi







