Saturday, November 8, 2025
28.7 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Hurikan Melissa ragut 75 nyawa, jejaskan 5 juta di Caribbean

The Sun Webdesk

Hurikan Melissa menyebabkan 75 kematian, 770,000 hilang tempat tinggal di Caribbean dengan bantuan PBB dihantar ke Cuba, Haiti dan Jamaica.

NEW YORK: Hurikan Melissa meragut sekurang-kurangnya 75 nyawa dan menjejaskan hampir lima juta penduduk di Cuba, Haiti dan Jamaica, seminggu selepas ia membadai rantau Caribbean, kata jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat, lapor Xinhua.

Timbalan Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Farhan Haq, berkata bahawa hurikan itu turut menyebabkan lebih 770,000 orang hilang tempat tinggal serta merosakkan atau memusnahkan puluhan ribu rumah, sekolah dan kemudahan kesihatan.

“Kami dan rakan kerjasama terus menyokong pihak berkuasa di ketiga-tiga negara berkenaan,” katanya ketika taklimat harian.

Di Jamaica, Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) menempatkan kakitangan tambahan bagi membantu kerajaan menangani isu kemanusiaan dan memperkukuh operasi di lapangan, kata Haq.

Beliau berkata di Cuba, Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) menghantar peralatan pertanian, makanan ternakan dan bekalan perikanan untuk membantu memulihkan sumber pendapatan.

Pelbagai agensi PBB turut melaksanakan operasi di rantau berkenaan, termasuk Tabung Penduduk (UNFPA) yang mengedarkan kit kesihatan reproduktif serta bekerjasama dengan rakan tempatan bagi mencegah dan menangani keganasan berasaskan jantina.

Program Pembangunan PBB (UNDP) pula membekalkan bumbung, set alatan dan penjana bagi menyokong proses pemulihan awal, manakala Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) menghantar bekalan penyimpanan dan rawatan air yang mampu memberi manfaat kepada sehingga 16,000 orang setiap hari. – Bernama-Xinhua

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories

spot_imgspot_img