Serpihan besar dipercayai milik pesawat peronda ATR 42-500 yang hilang ditemukan di lereng Bukit Bulusaraung, Sulawesi Selatan, pagi Ahad.
JAKARTA: Serpihan besar dipercayai daripada pesawat ATR 42-500 yang hilang ditemukan di Bukit Bulusaraung dalam Daerah Maros, Sulawesi Selatan.
Ketua Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) Makassar Andi Sultan berkata pasukan darat mengesan serpihan yang disyaki sebagai bahagian badan dan ekor pesawat pada sekitar 7.49 pagi waktu tempatan.
“Serpihan tersebut ditemukan di lereng, di sebelah selatan, di bahagian bawah lereng bukit,” katanya.
Kementerian Hal Ehwal Maritim dan Perikanan Indonesia mengesahkan pesawat yang hilang itu adalah pesawat peronda milik Indonesia Air Transport (IAT) berdaftar PK-THT.
Pesawat membawa tujuh kru dan tiga penumpang itu dilaporkan terputus hubungan pada Sabtu di ruang udara Daerah Maros.
Ia dalam perjalanan dari Yogyakarta ke Makassar.
Andi berkata satu pasukan telah dihantar ke lokasi penemuan serpihan.
Usaha menyelamat masih mencabar disebabkan rupa bumi yang curam.
Keadaan itu menimbulkan kesukaran untuk turun ke lokasi badan pesawat.
Beliau menambah kira-kira 500 anggota kini berada dalam keadaan sedia untuk membantu operasi SAR.
Nasib 10 individu di dalam pesawat itu masih belum jelas.








