Kementerian Pertahanan Syria umum gencatan senjata di Ashrafieh dan Bani Zeid, Aleppo, beri tempoh kepada kumpulan bersenjata untuk berundur.
ISTANBUL: Kementerian Pertahanan Syria mengumumkan pelaksanaan gencatan senjata di utara bandar Aleppo bermula 3 pagi waktu tempatan pada Jumaat.
Gencatan senjata itu merangkumi kejiranan Ashrafieh, Sheikh Maqsoud dan Bani Zeid selepas pihak berkuasa berjaya menguasai daerah-daerah tersebut.
Kementerian memberikan tempoh sehingga 9 pagi Jumaat kepada kumpulan bersenjata untuk meninggalkan kawasan terbabit bagi menamatkan situasi ketenteraan.
BACA: Gencatan senjata di Gaza tidak wajar menjadi sekadar jeda antara peperangan
Kenyataan itu disiarkan oleh Agensi Berita Arab Syria (SANA) selepas Kementerian Dalam Negeri memaklumkan penempatan pasukan keselamatan dalaman di Ashrafieh.
Penempatan itu berlaku susulan pengunduran kumpulan PKK/YPG yang beroperasi di bawah nama Pasukan Demokratik Syria (SDF).
Perkembangan itu berlaku selepas sebilangan besar anggota SDF di Sheikh Maqsoud dan Ashrafieh berpaling tadah atau melarikan diri.
Tentera Syria sebelum itu melancarkan bedilan hebat ke arah kedudukan SDF di Aleppo awal pagi Khamis.
Serangan balas itu adalah membalas tindakan SDF yang dikatakan mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan orang awam dan mencederakan puluhan yang lain.
Pada Mac 2025, Kepresidenan Syria mengumumkan perjanjian penyepaduan SDF ke dalam institusi negara.
Pihak berkuasa menyatakan SDF tidak menunjukkan usaha memenuhi syarat perjanjian tersebut dalam bulan-bulan berikutnya.
Kerajaan Syria mempergiat usaha mengekalkan keselamatan di seluruh negara sejak penggulingan rejim Bashar al-Assad pada Disember 2024. – Bernama-Anadolu








