Operasi SAR tanah runtuh Cilacap temui tujuh lagi mayat, jumlah kematian kini 11 dengan 12 masih hilang, cuaca hujan halang pencarian
JAKARTA: Pasukan penyelamat di Jawa Tengah menemukan tujuh lagi mayat mangsa tanah runtuh di daerah Cilacap pada hari ketiga operasi pencarian, meningkatkan jumlah kematian yang disahkan kepada 11, menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (BNPB) pada Sabtu.
Dua lagi bahagian mayat dikenal pasti milik seorang mangsa, susulan penemuan tiga mayat sebelum ini sejak dua hari lalu.
“Sekurang-kurangnya 12 orang masih hilang ketika pasukan mencari dan menyelamat (SAR) meneruskan operasi di kawasan rumah yang musnah dan jalan yang terhalang,” kata Timbalan Ketua Pengurusan Kecemasan BNPB, Budi Irawan dalam kenyataan.
Operasi pada Sabtu di kampung Cibeunying, daerah Majenang, melibatkan 520 anggota SAR gabungan, disokong oleh 19 ekor anjing pengesan dan 12 jengkaut.
“Ketinggian timbunan runtuhan berbeza antara dua hingga lapan meter, menjadikan pencarian secara cepat mustahil menggunakan peralatan asas,” tambah Budi.
Cuaca kekal sebagai faktor utama, dengan hujan sederhana hingga lebat diramalkan di daerah Majenang hingga Ahad, yang boleh menjejaskan operasi pencarian yang ditamatkan pada 4 petang pada hari ketiga itu. – Bernama






