Tandas pintar Jepun kini boleh analisis bentuk, warna dan jumlah najis untuk pantau kesihatan usus, lengkap dengan nasihat pemakanan melalui aplikasi.
TOKYO: Pengeluar tandas Jepun kini membawa pemantauan kesihatan ke bilik air dengan teknologi analisis najis terbaharu.
Toto Ltd melancarkan dua model mewah siri Neorest pada Ogos yang dilengkapi sensor dalam mangkuk tandas.
Sensor yang dilengkapi LED itu mengimbas bahan buangan untuk mengukur bentuk, jumlah dan warna najis.
Sistem ini mengklasifikasikan bentuk dan kekerasan najis kepada tujuh kategori berbeza.
Jumlah dan warna najis pula direkodkan dalam tiga tahap berasingan.
Pengguna boleh memantau status najis mereka melalui aplikasi telefon pintar khas.
Aplikasi itu juga memberikan nasihat pemakanan berdasarkan analisis pergerakan usus pengguna.
“Nasihat itu termasuk cadangan untuk meningkatkan pengambilan sayur-sayuran,” menurut seorang pegawai syarikat.
Produk baharu ini bertujuan membantu pengguna menjadikan tabiat harian sebagai asas kesihatan lebih baik.
Syarikat elektronik Panasonic Corp pula membangunkan peranti Toirepo untuk kemudahan penjagaan warga emas.
Peranti itu merekodkan masa, kekerapan dan jumlah perkumuhan penghuni menggunakan sensor dipasang pada tandas.
Pegawai syarikat berkata peranti itu diterima baik kerana mengelakkan pemeriksaan konvensional yang kurang menyenangkan.
Industri tandas Jepun terkenal dengan inovasi berterusan memenuhi keperluan sosial yang berubah.
Mereka membangunkan tandas bidet fokus kebersihan selepas bilik air gaya barat menjadi arus perdana.
Reka bentuk penjimatan air kemudian diperkenalkan apabila kesedaran alam sekitar meningkat.
Penganalisis pasaran Tsutomu Yamada berkata produk ini lahir daripada minda yang sangat ingin tahu.
Beliau menambah industri itu masih mempunyai ruang besar untuk pengembangan lanjut.








