the sun malaysia ipaper logo 150x150
Friday, July 24, 2026
32 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Kerajaan bincang jaminan bekalan gas, keterjaminan bekalan elektrik dalam Mesyuarat MTN

KUALA LUMPUR: Jaminan bekalan gas dalam konteks peralihan tenaga dan keterjaminan bekalan elektrik di Semenanjung merupakan antara perkara dibincang dalam Mesyuarat Majlis Tenaga Negara (MTN) Bilangan 1 Tahun 2024 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Anwar menerusi hantaran di laman Facebook berkata MTN adalah majlis tertinggi terkait dengan penetapan hala tuju dan dasar strategik sektor tenaga negara.

“Saya tegaskan kepada ahli MTN kepentingan kerajaan memberi fokus kepada agenda peralihan tenaga yang telah direncanakan melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

“Ini termasuklah mempercepat penyediaan rangka kawal selia Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS), mekanisme Akses Pihak Ketiga bagi sektor bekalan elektrik serta mekanisme pasaran tenaga boleh baharu (RE Exchange),” katanya.

Beliau berkata untuk itu, mesyuarat juga telah meneliti kemajuan projek dan inisiatif rintis perdana NETR.

“Sebanyak 10 projek rintis perdana telah bermula dan dipantau secara rasmi serta melibatkan pelaburan yang sedang dimuktamadkan berjumlah RM60.7 bilion,” katanya.

Perdana Menteri berkata sejajar dengan gagasan Ekonomi MADANI, pengurusan peralihan tenaga yang berkesan memerlukan pendekatan keseluruhan negara bagi memastikan kesepaduan perancangan dan pelaksanaan dasar dalam mengimbangi trilema tenaga iaitu jaminan bekalan tenaga, akses kepada bekalan tenaga serta kelestarian alam sekitar.

Mesyuarat MTN itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor. –Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings