Menteri KUSKOP lancar pusat penjaja moden Kundasang bernilai RM2.275 juta, siap Jun 2026 dengan kemudaan moden untuk 90 usahawan.
KUNDASANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick telah menyempurnakan majlis Pecah Tanah Pusat Penjaja Moden Kundasang bernilai RM2.275 juta.
Projek yang dijangka siap pada Jun 2026 ini bakal memberi manfaat kepada 90 usahawan tempatan.
Beliau berkata projek di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi melalui UDA Holdings Berhad ini dibangunkan dengan kerjasama Majlis Daerah Ranau.
Pusat ini dibangunkan di atas tanah seluas 1.5 ekar di kawasan strategik.
“Apabila siap kelak, ia akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden termasuk gerai jualan, tandas awam, medan selera, stor dan surau,” katanya.
Ewon menegaskan bahawa pembinaan pusat ini bukan sekadar projek fizikal semata-mata.
“Projek ini merupakan cerminan tekad kerajaan memperkukuh ekonomi rakyat akar umbi, khususnya penjaja kecil, peniaga luar bandar dan usahawan mikro,” ujarnya.
Beliau menyampaikan ucapan tersebut ketika merasmikan majlis pecah tanah Pusat Penjaja Moden Kundasang.
Ewon menjelaskan bahawa projek ini merupakan kesinambungan daripada konsep Tamu Desa yang diperkenalkan KUSKOP.
“Terdapat penambahbaikan dari segi reka bentuk, kemudahan moden bercirikan identiti tempatan serta elemen kelestarian alam sekitar,” katanya.
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, UDA melalui program Malaysian Entrepreneur Hub telah diberikan mandat untuk menyediakan infrastruktur keusahawanan.
“Mandat ini adalah untuk memperkukuh ekosistem usahawan mikro dan penjaja di seluruh negara,” jelasnya.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Majlis Daerah Ranau kerana menyediakan tapak strategik serta memberi sokongan teknikal.
“Terima kasih juga kepada Bank Rakyat, kerana menjadi rakan strategik melalui pelaksanaan Skim Mikro-i Penjaja dan Peniaga Kecil dan Program Jajahan Bank Rakyat,” katanya.
Ewon menekankan bahawa inilah semangat konsep Whole of Government dalam pelaksanaan projek.
“Gabungan usaha kerajaan Persekutuan, negeri, agensi dan pihak berkuasa tempatan menghasilkan penyelesaian inovatif yang memberi impak besar kepada rakyat,” ujarnya.
Beliau menyeru agar sinergi antara agensi kerajaan dan pihak berkepentingan perlu diperluas.
“Tujuan pengembangan sinergi ini adalah agar manfaat pembangunan benar-benar sampai kepada masyarakat luar bandar, khususnya di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Ewon menegaskan bahawa pembangunan komuniti tidak hanya bergantung pada infrastruktur semata-mata.
“Pembangunan memerlukan pendekatan menyeluruh merangkumi akses pembiayaan, pendigitalan dan latihan keusahawanan,” tegasnya. – Bernama










