KUALA LUMPUR: Seramai 1.12 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja telah membuat caruman secara sukarela berjumlah RM14.13 bilion setakat Ogos tahun ini.
Kementerian Kewangan menyatakan bahawa KWSP menyediakan pelbagai saluran untuk memudahkan ahli menambah simpanan persaraan mereka.
Sebanyak 227,000 ahli KWSP telah mendaftar untuk membuat caruman melebihi kadar berkanun bagi caruman pekerja setakat Ogos 2025.
Maklumat tersebut diberikan melalui jawapan bertulis kepada soalan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dari Parlimen Bukit Gantang mengenai galakan pembukaan akaun KWSP.
Bagi tempoh separuh pertama 2025, program i-Saraan merekodkan jumlah caruman sebanyak RM2.8 bilion daripada 487,375 ahli.
Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 74 peratus daripada RM1.6 bilion yang dicarum pada separuh pertama 2024.
Bilangan ahli i-Saraan juga meningkat 48 peratus daripada 330,196 ahli dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Program i-Sayang pula telah disertai oleh 158,000 suami dengan jumlah pindahan caruman sebanyak RM309.4 juta setakat Ogos 2025. – Bernama










