Kesemua 36 pelajar dan dua pensyarah UUM berjaya diselamatkan selepas terkandas banjir di Hat Yai, Thailand semasa program pertukaran budaya
KUALA LUMPUR: Kesemua 36 pelajar bersama dua pensyarah Universiti Utara Malaysia yang terkandas akibat banjir di Hat Yai, Thailand berjaya diselamatkan hari ini.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengesahkan kejayaan operasi penyelamatan itu menerusi hantaran Facebook.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Kementerian Luar Negeri, Kedutaan Besar Malaysia di Thailand, dan pihak berkuasa Thailand atas koordinasi berkesan.
“Semoga urusan seterusnya dipermudahkan. Insya-Allah,” katanya.
Kesemua mangsa akan dibawa ke penempatan sementara sebelum dipulangkan ke Malaysia.
Mereka merupakan pelajar dan pensyarah dari Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz UUM.
Kumpulan itu terkandas sejak 22 November ketika menyertai Program Pertukaran Budaya Thai-MYS 2025.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata lebih 700 rakyat Malaysia berjaya dipindahkan dari Hat Yai ke Bukit Kayu Hitam.
Operasi pemindahan dapat dilaksanakan selepas paras air banjir menurun dan hujan reda.
Keadaan itu membolehkan pasukan Malaysia dan Thailand mengakses lokasi yang sebelum ini terputus hubungan. – Bernama







