the sun malaysia ipaper logo 150x150
Sunday, January 4, 2026
21.3 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

500 pelajar Padang Rengas terima bantuan persekolahan MADANI

Seramai 500 pelajar Parlimen Padang Rengas mendapat bantuan persekolahan bernilai RM50,000 bagi meringankan beban keluarga menjelang sesi sekolah.

PADANG RENGAS: Seramai 500 pelajar dalam Parlimen Padang Rengas menerima bantuan daripada program Sumbangan Kasih MADANI: Kembali ke Sekolah 2026.

Program itu melibatkan peruntukan sebanyak RM50,000 bagi meringankan beban keluarga menjelang sesi persekolahan.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata penerima terdiri daripada golongan keluarga berpendapatan rendah berusia tujuh hingga 18 tahun.

“Pemilihan penerima dilakukan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Daerah Kuala Kangsar dan ini merupakan bantuan tambahan selepas kerajaan memperuntukkan lebih RM800 juta bagi Bantuan Awal Persekolahan baru-baru ini,” katanya.

Beliau berucap pada sidang media selepas merasmikan program itu di perkarangan Pusat Komuniti Rakyat, Taman Puncak Bogeinvilla.

Muhammad Kamil berharap sumbangan itu digunakan sebaiknya oleh ibu bapa untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak masing-masing.

Sementara itu, Che Normah Ahmad, 71, berkata sumbangan itu akan digunakan untuk membeli kelengkapan persekolahan cucunya.

Cucunya, Ahmad Iman Izz Qarish Abdullah yang berusia lapan tahun, menghidap kanser darah sejak lahir.

“Bantuan seperti ini sangat membantu keluarga seperti saya yang mempunyai cucu berkeperluan khas dan menghadapi masalah kesihatan kerana kos rawatan menjadi tanggungan yang besar,” katanya.

Che Normah berharap program itu dapat diteruskan pada masa hadapan supaya lebih ramai pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah mendapat manfaat.

Beliau berkata bantuan itu dapat mengurangkan beban kewangan ibu bapa menjelang sesi persekolahan baharu.

“Walaupun nilainya mungkin kecil bagi sesetengah pihak, bagi kami sangat bermakna,” ujarnya.

Beliau menambah setiap sen membantu meringankan beban keluarga dan memberi semangat kepada anak untuk terus belajar.

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories