the sun malaysia ipaper logo 150x150
Monday, December 15, 2025
28.5 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

ADUN Kuamut gesa perluas kemudahan Internet Starlink di pedalaman Sabah

ADUN Kuamut cadang pemasangan Internet satelit Starlink diperluas ke setiap kampung di Sabah bagi bantu pelajar dan penduduk luar bandar

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut Datuk Masiung Banah mencadangkan supaya pemasangan Internet satelit Starlink diperluas ke kawasan luar bandar dan pedalaman.

Masiung (GRS-Kuamut) berkata inisiatif Kementerian Komunikasi itu memberi impak besar kepada masyarakat terutama pelajar di kawasan yang masih kekurangan capaian Internet.

“Ada program kementerian untuk beri Internet, beri Internet kepada luar bandar yang dipanggil Starlink. Ini program bagus. Jadi kita minta Menteri berkenaan tambah dan kalau boleh setiap kampung (ada kemudahan Internet satelit Starlink),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 Sabah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.

Masiung menekankan program itu perlu dihebahkan dan diperluas ke kampung-kampung kerana banyak membantu pelajar mendapatkan akses Internet.

Setakat ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memasang peranti Starlink di beberapa kawasan pedalaman dan terpencil.

Lokasi pemasangan termasuk dua lokasi di Papar, Keningau (dua lokasi), Tawau (dua lokasi), serta masing-masing satu lokasi di Kudat, Ranau, Tuaran dan Nabawan.

Dalam perkembangan lain, Masiung turut memuji keberhasilan kerajaan Sabah menerusi pelbagai dasar baharu termasuk pembangunan modal insan dan agenda perumahan rakyat.

Beliau menekankan kepentingan pelaksanaan lebih cekap di peringkat jabatan dan agensi di negeri itu.

Masiung juga menegaskan kepentingan mempercepat penyampaian program kerajaan negeri seperti bantuan pendidikan RM200 bagi Tingkatan Lima dan Enam.

Beliau menggesa bantuan kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma serta ijazah agar mereka dapat segera menikmati manfaatnya.

Sementara itu, Masiung menggesa kerajaan Sabah meneliti potensi sumber mineral baharu seperti emas, arang batu dan nadir bumi sebagai pemangkin ekonomi jangka panjang.

Beliau turut menggesa mempercepat penubuhan jawatankuasa khas bagi merumuskan mekanisme tuntutan hak 40 peratus hasil Sabah.

“Ini kerana kita mahu supaya mana-mana belanjawan yang sudah dibentang di sini akan dibelanjakan semaksimumnya hingga akhir tahun. Kita ingin melihat negeri ini maju, negeri kita ini aman, negeri kita ini stabil politik,” katanya.

Masiung menyatakan sokongan kepada Belanjawan Sabah 2026. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories