Jabatan Peguam Negara arah siasatan kes tembakan mati tiga lelaki di Melaka diklasifikasi semula sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan siasatan kes tiga lelaki yang ditembak mati di Melaka diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.
Menurut AGC, arahan itu dibuat selepas pihaknya dirujuk dan berdasarkan taklimat serta cadangan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Siasatan kini akan dikendalikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan bunuh.
“Penelitian awal AGC mendapati beberapa tindakan lanjut masih perlu diambil oleh PDRM bagi melengkapkan siasatan sebelum apa-apa jua keputusan muktamad dibuat,” menurut kenyataan AGC.
Pada 24 November lalu, tiga lelaki berumur 24 hingga 29 tahun ditembak mati di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal, Melaka.
Kejadian itu berlaku kira-kira jam 4.30 pagi selepas seorang daripada mereka didakwa melibas parang ke arah seorang anggota polis.
Serangan itu menyebabkan seorang koperal cedera parah pada lengan kirinya.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata suspek dipercayai dalam perjalanan untuk menyamun sebuah premis.
Beliau berkata kesemua suspek daripada Geng Durian Tunggal itu aktif melakukan jenayah sejak 2024.
Kumpulan itu didakwa terlibat dalam 20 kes di Melaka serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor, dengan kerugian dianggarkan RM1.35 juta.
Bagaimanapun pada 3 Disember lepas, ahli keluarga tiga suspek berkenaan menolak dakwaan bahawa mangsa bertindak ganas dengan menyerang pasukan keselamatan.
Susulan itu pada 4 Disember, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata satu pasukan khas telah ditubuhkan.
Pasukan itu akan menyiasat dakwaan ahli keluarga tiga suspek yang tidak berpuas hati dengan tindakan polis.
Hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kes itu akan disiasat secara rapi dan telus tanpa sebarang tolak ansur oleh PDRM.
Beliau mengulas semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Negara. – Bernama







