Monday, November 3, 2025
24.9 C
Malaysia
spot_img

Agong tiba di Arab Saudi untuk lawatan negara empat hari

The Sun Webdesk

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memulakan lawatan negara ke Arab Saudi bagi perkukuh hubungan dua hala dan perluas kerjasama.

RIYADH: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat tiba di sini pada Isnin  untuk memulakan lawatan negara empat hari ke Arab Saudi bagi memperkukuh  hubungan dua hala serta memperluas kerjasama demi kepentingan dan manfaat rakyat kedua-dua negara.

Kunjungan berkenaan ialah lawatan negara pertama Yang di-Pertuan Agong ke Arab Saudi sejak kali terakhir dilaksanakan oleh Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah pada 1984.

Pesawat khas yang membawa Seri Paduka Baginda berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang hari ini dan mendarat di Terminal Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid, Riyadh pada 12.30 tengah hari (5.30 petang waktu Malaysia).

Mengiringi Seri Paduka Baginda dalam lawatan ini ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Sementara itu, pesawat berasingan yang membawa Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj dan Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj mendarat di lapangan terbang sama kira-kira 11.30 pagi.

Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim disambut oleh Timbalan Gabenor Wilayah Riyadh Putera Mohammed bin Abdulrahman bin Abdulaziz Al Saud, Datuk Bandar Riyadh Putera Faisal bin Abdulaziz bin Ayyaf dan Menteri Pelancongan Kerajaan Arab Saudi Ahmed Al Khateeb.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Datuk Seri Amran Mohamed Zain, Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini serta Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Datuk Syed Bakri Syed Abdul Rahman.

Seri Paduka Baginda kemudian melintasi barisan kawalan kehormatan sebelum berangkat ke hotel penginapan di Riyadh.

Di hotel berkenaan,Yang di-Pertuan Agong disambut oleh petugas Kedutaan Malaysia bersama keluarga mereka. 

Semasa berada di Riyadh, Sultan Ibrahim dijadualkan mengadakan pertemuan empat mata dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud di Istana Yamamah.

Menurut kenyataan Istana Negara, lawatan negara itu mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dan Arab Saudi untuk memperkukuh hubungan dua hala, di samping memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, geopolitik, pertahanan dan hal ehwal Islam.

Dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini, sebanyak 12 kunjungan berprofil tinggi telah diadakan antara Malaysia dan Arab Saudi. 

Arab Saudi juga rakan dagang ke-14 terbesar Malaysia, dengan jumlah perdagangan bernilai RM44.74 bilion (USD9.79 bilion).

Selain aspek ekonomi, hubungan erat kedua-dua negara turut terserlah dalam urusan ibadah haji dan umrah, dengan Seri Paduka Baginda bakal menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi atas layanan mesra dan penyelarasan istimewa yang diberikan kepada jemaah Malaysia saban tahun.

Lawatan negara ini adalah yang kelima dilaksanakan oleh Sultan Ibrahim selepas Singapura, China, Brunei dan Rusia.

Selesai lawatan di Arab Saudi, Yang di-Pertuan Agong akan berangkat ke Bahrain pada 6 Nov atas persilaan Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa bagi lawatan negara yang julung kali diadakan sejak hubungan diplomatik Malaysia-Bahrain terjalin pada 1974. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Vinhomes Green Paradise applies to be a participant in the world’s ‘7 wonders of future cities’ global campaign.

CAN GIO, VIETNAM - Media OutReach Newswire - 3 November 2025 - The Can Gio Urban Area Project - Vinhomes Green Paradise - has officially applied to become a Participant in the global "7 Wonders of Future Cities" campaign, launched by the world-renowned New7Wonders organization. By firmly embracing this global initiative, Vinhomes reaffirms its forward-looking vision, positioning Vinhomes Green Paradise not merely as a real estate development but as a world-class symbol that embodies the future of human urban living.

Most Viewed

HKSOS x Sowers action challenging 12 hours charity trail marathon 2025

HONG KONG SAR - Media OutReach Newswire - 3 November 2025 - The HKSOS x Sowers Action Challenging 12 Hours Charity Trail Marathon 2025 successfully took place today (2 November). The event, co-organized by Sowers Action and the mobile application HKSOS, was officiated at the kick-off ceremony by the Hon. of the Secretary for Security, Mr Tang Ping-keung. Other officiating guests included the Assistant Commissioner of Police (Information Systems), Ms. Kwan Chui-ching; the Assistant Director (Kowloon) of the Fire Services Department, Mr. Tsang Wing-hung; Divisional Commander (Kowloon East), Mr. Chu Man-chiu; Assistant Commissioner (World Customs Organization) of the Customs and Excise Department, Mr. Li Kin Kei; Acting Chief Pilot (Operations) of the Government Flying Service, Mr. Lui Tak-shun; and Staff Officer of the Auxiliary Medical Service, Mr. Siu Kwan-choi.
spot_img

Popular Categories

spot_imgspot_img