Wednesday, November 5, 2025
26 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Ahmad Maslan sindir pembangkang minta peruntukan tapi tolak belanjawan

Bernama

Ahmad Maslan persoal sikap pembangkang yang minta pelbagai peruntukan pembangunan di kawasan mereka tetapi tidak menyokong Belanjawan 2026.

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan menyindir sikap wakil rakyat pembangkang yang meminta pelbagai peruntukan pembangunan di kawasan mereka namun tidak menyokong Belanjawan 2026.

Beliau memberikan reaksi itu sebagai jawapan tambahan kepada soalan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) mengenai perancangan kementerian menaik taraf jalan di Johor.

“Mersing ini pembangkang, minta bukan main banyak lagi,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

“Semalam pembangkang-pembangkang ini tak menyokong pun belanjawan, tetapi minta berjela-jela.”

Ahmad Maslan mempersoalkan mengapa mereka tidak menyokong belanjawan semalam tetapi terus meminta pelbagai peruntukan.

“Belanjawan semalam pun untuk rakyat, tapi mereka tak sokong,” tegasnya.

Dewan Rakyat semalam meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar menerusi undi belah bahagian.

Undian tersebut menyaksikan 120 Ahli Parlimen bersetuju, 67 tidak bersetuju dan 35 tidak hadir.

Sementara itu, Ahmad berkata Kementerian Kerja Raya sentiasa berusaha menaik taraf lebuh raya dan jalan utama di Johor.

Ini sebagai persediaan menghadapi pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dijangka merancakkan pertumbuhan ekonomi serta aliran trafik.

Beliau berkata terdapat sembilan zon perdana JS-SEZ yang direka bentuk bagi memastikan sambungan infrastruktur yang lancar.

Sambungan itu merangkumi jaringan jambatan, lebuh raya dan pelabuhan.

Ahmad berkata beberapa kementerian telah memberikan kelulusan kepada sejumlah projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

Ini termasuk pembinaan lorong tambahan Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dari Yong Peng Utara ke Senai Utara (Fasa 1).

Juga diluluskan projek naik taraf Lebuh Raya Pasir Gudang daripada empat lorong kepada enam lorong dari Persimpangan Bertingkat Perling ke susur naik PLUS.

Beliau berkata sejumlah projek baharu juga diluluskan dalam Rancangan Boleh Pinda 1 RMK13 bagi menyokong pembangunan JS-SEZ.

Antaranya kerja awalan naik taraf Jalan Parit Panjang dari Pekan Air Baloi, Pontian ke Persimpangan Tol Sedenak.

Projek naik taraf Lebuh Raya Senai-Desaru dari Jambatan Sungai Johor ke Desaru juga diluluskan.

Ahmad menjawab soalan asal Muhammad Islahuddin mengenai kesediaan kementerian menaik taraf lebuh raya dan jalan utama di Johor.

Kesesakan itu berpunca daripada pertambahan kenderaan serta pembangunan pesat di Iskandar Malaysia khususnya dalam menghadapi pelaksanaan JS-SEZ. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories

spot_imgspot_img