Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) kini berkuat kuasa, letak tanggungjawab keselamatan pada pengendali platform dan ibu bapa.
KUCHING: Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang berkuat kuasa pada 1 Januari lalu akan memperkukuh kawalan keselamatan dan memastikan penggunaan media sosial yang lebih selamat, khususnya melibatkan golongan bawah umur.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata tanggungjawab keselamatan dalam talian tidak lagi diletakkan sepenuhnya kepada ibu bapa, sebaliknya turut dipikul oleh pengendali platform digital.
“Penguatkuasaan akta ini mengurangkan risiko pendedahan kepada kandungan berbahaya dan ancaman keselamatan yang semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini,” katanya pada sidang media sempena Bengkel Pembangunan Kepimpinan Untuk Usahawan Wanita Dayak di sini hari ini.
Beliau berkata kerjasama semua pihak diperlukan bagi mewujudkan persekitaran digital yang selamat dan terkawal untuk generasi muda.
Nancy menekankan ibu bapa dan masyarakat terus memainkan peranan penting dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan akta itu.
Beliau berharap keselamatan kanak-kanak dalam talian dapat dipertingkatkan secara menyeluruh dan berterusan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengumumkan penguatkuasaan ONSA yang menggariskan kerangka perundangan bagi meningkatkan keselamatan dalam talian serta memperkukuh perlindungan pengguna, khususnya kanak-kanak dan keluarga.
Akta itu terpakai kepada pemberi perkhidmatan yang memegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi, Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan atau Pemberi Perkhidmatan Rangkaian di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
ONSA bagaimanapun tidak terpakai kepada pengguna individu.
Dalam perkembangan lain, Nancy berkata Pertubuhan Rangkaian Pemerkasaan dan Kelestarian Wanita Kuching dengan kerjasama Dewan Perniagaan dan Industri Dayak akan melaksanakan Program Perantis-Pendaya.
Bengkel pembangunan kepimpinan itu dirangka khusus bagi memperkasa usahawan wanita Dayak.
Ini merupakan inisiatif strategik di bawah Perantis Program Pendaya yang juga sebahagian daripada inisiatif Perantis oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Program Perantis memberi tumpuan kepada pembangunan kepimpinan, keusahawanan dan pemerkasaan sosioekonomi wanita secara inklusif dan mampan.
Program itu akan dilaksanakan pada 12 hingga 13 Januari ini di Dayak Chamber, Kuching.
Ia melibatkan 50 usahawan wanita Dayak, termasuk usahawan baharu dan berpengalaman, pemilik perniagaan keluarga, pemula niaga serta perusahaan berasaskan komuniti.








