PM Anwar Ibrahim mengecam sikap hipokrit dan kegagalan moral kepimpinan global dalam menangani krisis kemanusiaan di Gaza
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kegagalan kepimpinan global menangani krisis di Gaza sebagai kehilangan pertimbangan hati nurani.
Beliau mengecam sikap hipokrit dan pengabaian nilai moral yang terus menjejaskan usaha keadilan serta akauntabiliti antarabangsa.
“Bagi saya, saya sentiasa menggunakan istilah hilangnya pertimbangan hati nurani dan kekurangan nilai moral,” katanya dalam temu bual bersama TRT World semasa lawatan ke Turkiye.
Anwar berkata skala krisis itu menimbulkan persoalan besar tentang pemahaman masyarakat antarabangsa terhadap sejarah Palestin.
“Maksudnya selepas semua yang berlaku di dunia, anda masih gagal memahami latar sejarah Palestin? Saya tidak percaya,” tegasnya.
Beliau menegaskan kegagalan memahami isu tersebut tidak boleh dijelaskan semata-mata oleh kejahilan.
Anwar mempersoalkan sama ada manusia telah belajar daripada kekejaman sejarah seperti di Jerman.
“Tidakkah kita belajar apa-apa?” soal beliau sambil menegaskan pengajaran sejarah seolah-olah diabaikan.
Beliau berkata situasi di Gaza mencerminkan kesinambungan ketidakadilan kolonial yang sepatutnya sudah berakhir.
“Kolonialisme masih wujud. Ia berkembang di Palestin, di Gaza, di depan mata berbilion orang,” katanya.
Anwar menekankan penderitaan rakyat Palestin telah berlarutan selama lebih setengah abad.
Beliau memberi amaran kegagalan bertindak akan mengundang lebih banyak kemarahan, permusuhan dan ekstremisme.
Mengenai akses bantuan, beliau meluahkan kekecewaan terhadap sekatan berterusan penghantaran bekalan kemanusiaan.
“Ratusan kontena menunggu, terbiar, untuk menyeberangi sempadan. Dan orang mati di sebelah sana,” jelasnya.
Anwar menekankan kesan terhadap orang awam, terutamanya kanak-kanak yang mati akibat kelaparan.








