Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam pembangkang yang mengkritik Perjanjian ART Malaysia-AS tanpa memahami kandungan dokumen berkenaan.
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas pembangkang yang lantang mengkritik Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) tanpa memahami kandungan dokumen berkenaan.
Beliau berkata tindakan mengulas secara melulu tanpa asas dan kefahaman mendalam terhadap isu berkenaan hanya mencerminkan tahap perbahasan politik negara yang masih rendah serta tidak berasaskan ilmu.
“Kadang-kadang, rakan-rakan di Parlimen bila ada perjanjian dengan Amerika Syarikat, terus kata kita mengalah, kita dijajah.
“Dah baca ke belum? Faham ke tidak? Ini jadi masalah. Tahap perdebatan itu rendah,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian penutup Festival Idea Putrajaya (FOI) 2025 di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Malaysia dan AS menandatangani ART pada 26 Okt semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.
Perjanjian itu merupakan cadangan AS bagi merunding semula tarif terhadap Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus, di bawah Executive Order 14257 yang dikeluarkan Presiden Donald Trump pada 2 April 2025.
Anwar berkata pemimpin politik seharusnya menilai sesuatu dasar atau perjanjian berdasarkan manfaat kepada rakyat dan negara, bukan menanam sentimen kebencian atau prejudis yang mengelirukan.
Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia perlu memanfaatkan hubungan dagangan serta penyelidikan dengan negara luar secara bijaksana bagi memperkukuh kedudukan ekonomi dan akademik negara.
“Mesyuarat ASEAN baru-baru ini menunjukkan semua negara berminat untuk melabur, meningkatkan perdagangan, penyelidikan dan kerjasama universiti. Ini menunjukkan Malaysia semakin diyakini,” katanya.
Perdana Menteri dalam ucapannya turut menyeru generasi muda khususnya mahasiswa, agar menjadi pelopor kepada percambahan idea yang segar berpaksikan nilai kebenaran, keadilan dan kemanusiaan.
“Kita sudah merdeka hampir tujuh dasawarsa, tetapi masih ada terperangkap dengan idea kuno dan jumud, menghina kaum, memperlekeh budaya sendiri. Idea sebegitu belum merdeka. Saya mahu anak muda membawa idea baharu yang mengangkat martabat bangsa dan negara,” kata Anwar.
Perdana Menteri turut memuji pemimpin mahasiswa masa kini lebih beradab dan berfakta dalam berhujah berbanding segelintir Ahli Parlimen yang sering berdebat tanpa asas kukuh, dan perbezaan itu membuktikan generasi muda semakin matang serta berani mengemukakan pandangan secara bernas dan beretika.
Pada masa sama, Anwar menegaskan perjuangan membanteras rasuah dan ketirisan hasil negara terus diperkasakan kerajaan dengan hasil ketara sejak dua tahun lepas, sambil mempersoalkan sikap segelintir pemimpin yang masih cenderung mempertahankan perasuah besar.
“Belum pernah dalam sejarah, dalam dua tahun ini kita berjaya menghentikan banyak penyeludupan, perjudian dalam talian, ketirisan dan rasuah, RM15.5 bilion telah diselamatkan.
Tapi sepatah pun tidak kedengaran daripada pembangkang menyokong usaha ini.
Malah, ada yang mahu pertahankan perasuah besar,” kata beliau. – Bernama









