PM Anwar Ibrahim menyeru agar seni bela diri silat terus dipelihara sebagai warisan budaya Melayu meskipun negara maju dalam teknologi.
SUNGAI PETANI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu seni bela diri silat terus diperkasa dan tidak dilupakan dalam kalangan orang Melayu.
Beliau berkata silat perlu terus dipelihara sebagai warisan budaya dan jati diri bangsa meskipun negara maju dalam pelbagai bidang teknologi.
“Bagi pihak Kerajaan MADANI… kita akan terus bekerja memastikan Malaysia muncul sebagai negara yang hebat dan berjaya di rantau Asia… tetapi kita juga mahu negara ini berakar ke bumi, orang Melayu tidak hilang jati diri,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Himpunan Gema Pendekar MADANI Zon Utara dan Kejuaraan Silat Terbuka Piala Pendekar Utama Negara Dato’ Dr Raja Abdul Majid.
Beliau berkata setiap sekolah, kampung dan pinggir bandar wajar mempunyai kumpulan silat bagi memupuk semangat dan disiplin.
Bagaimanapun, seorang pesilat perlu menjaga akhlak dan berpaut kepada akidah Islam serta memperkukuh silaturahim.
“Dunia berubah, mesti ada kekuatan ilmu, mesti ada kefahaman tentang teknologi… tetapi apabila kita berakar kepada bumi, kita tidak hilang budaya Melayu,” katanya.








