the sun malaysia ipaper logo 150x150
Saturday, January 10, 2026
21.8 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Anwar terus pengerusi mesyuarat kabinet selepas pulang dari Turkiye

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terus ke pejabat untuk pengerusi mesyuarat Jemaah Menteri selepas tiba dari lawatan rasmi ke Turkiye

KUALA LUMPUR: Pengguna Lebuhraya Utara-Selatan kini menikmati ‘kebebasan lorong’ menerusi sistem pembayaran tol terbuka berasaskan pengecaman nombor plat automatik (ANPR), apabila PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memperkenalkan projek rintis bagi kenderaan persendirian di jajaran Hutan Kampung-Sungai Dua.

PLUS menerusi kenyataan memaklumkan inisiatif berkenaan menandakan pencapaian penting serta langkah awal ke arah pelaksanaan sistem Aliran Pantas Berbilang Lorong (MLFF) di lebuh raya Malaysia.

Menerusi sistem itu, pengguna kenderaan persendirian yang berdaftar tidak lagi terikat kepada lorong tol tertentu, sebaliknya boleh memasuki dan keluar melalui mana-mana lorong di sembilan plaza tol melibatkan Hutan Kampung, Alor Setar Utara, Alor Setar Selatan, Pendang, Gurun, Sungai Petani Utara, Sungai Petani Selatan, Bertam dan Sungai Dua.

Meliputi jarak 87.7 kilometer, fasa pertama projek rintis itu dijangka melancarkan aliran trafik di plaza tol selain mengurangkan risiko pertukaran lorong pada saat akhir.

“Kamera ANPR yang dipasang di plaza tol akan mengesan nombor plat kenderaan bagi membolehkan caj tol diproses secara automatik melalui platform pembayaran mudah alih yang dipautkan kepada kaedah pembayaran pilihan pengguna,” menurut kenyataan itu.

Menurut PLUS, sistem itu disokong kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin yang direka untuk mengenal pasti kenderaan dalam pelbagai keadaan termasuk cuaca, kelajuan, sudut pandangan dan nombor plat tidak standard serta akan terus meningkatkan tahap ketepatannya dari semasa ke semasa. 

Pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi mudah alih JustGO Malaysia, mendaftarkan kenderaan, menghubungkan kaedah pembayaran pilihan seperti kad debit atau kredit dan memandu seperti biasa tanpa memerlukan sebarang peranti tambahan serta tanpa kos pendahuluan.

“Aplikasi mudah alih ini dibangunkan sebagai platform pembayaran digital terbuka yang dirancang untuk dimiliki bersama oleh industri lebuh raya, sekali gus memperluas pilihan pembayaran tol selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menyediakan kaedah pembayaran lebih fleksibel kepada pengguna,” menurut kenyataan itu.

Menurut PLUS, kaedah pembayaran tambahan seperti e-dompet dan perbankan dalam talian akan diperkenalkan dalam tempoh terdekat, sementara kaedah pembayaran tol sedia ada seperti Touch ‘n Go, SmartTAG dan RFID masih boleh digunakan seperti biasa.

PLUS memaklumkan ujian menyeluruh sistem ANPR telah dijalankan sejak September 2024 dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta konsesi lebuh raya lain, yang menunjukkan pengesanan lebih pantas berbanding sistem sedia ada.

Sepanjang tempoh projek rintis, palang tol akan kekal digunakan dan pengguna dinasihatkan mengekalkan kelajuan antara 20 hingga 25 kilometer sejam ketika melalui plaza tol tanpa perlu berhenti. 

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories