Perdana Menteri Anwar Ibrahim tiba di Istanbul untuk program terakhir lawatan rasmi ke Turkiye, sambil terus mengukuhkan hubungan ekonomi dua hala.
ISTANBUL: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Istanbul hari ini untuk menghadiri beberapa program terakhir sebelum mengakhiri lawatan rasmi selama tiga hari ke Turkiye.
Pesawat khas membawa beliau dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada 2.19 petang waktu tempatan.
Beliau turut diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Anwar dijadualkan menghadiri mesyuarat meja bulat bersama peneraju industri Turkiye daripada pelbagai sektor.
Beliau juga dijangka menerima kunjungan hormat daripada bekas pemain bola sepak antarabangsa Mesut Ozil.
Perdana Menteri kemudiannya akan mengadakan sidang media sebelum berlepas pulang ke tanah air.
Lawatan ini menandakan berakhirnya lawatan rasmi beliau ke Turkiye atas jemputan Presiden Recep Tayyip Erdogan yang bermula Selasa lepas.
Lawatan itu adalah sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan Malaysia-Turkiye yang sudah terjalin lama.
Jumlah perdagangan Malaysia dengan Turkiye dari Januari hingga November 2025 mencecah RM21.2 billion.
Pada 2024, Turkiye merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Barat.
Jumlah perdagangan dua hala pada tahun itu bernilai RM24.15 billion.








