Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan umum jawatan baharu untuk Tengku Zafrul pada 3 Disember selepas beliau tamat tugas sebagai Menteri MITI
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan jawatan baharu untuk Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 3 Disember.
Pengumuman itu dibuat susulan perbincangan beliau dengan Tengku Zafrul mengenai kesinambungan tanggungjawab selepas tidak lagi menerajui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
“Saya memberitahu dia mengakhiri tugas sebagai Menteri MITI pada 2 Disember dan akan meneruskan kerja yang akan saya umumkan pada 3 Disember,” kata Anwar semasa berucap pada majlis peluncuran kenderaan elektrik Perodua QV-Edi.
Beliau berkata perkara itu memberikan isyarat penghargaan terhadap peranan Tengku Zafrul dalam mengembangkan jaringan perdagangan antarabangsa.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menyifatkan peranan Tengku Zafrul dalam mengemudi MITI, MIDA dan MATRADE sebagai sangat membanggakan.
“Peranan MITI dan keluarga MITI, MIDA, MATRADE, semua di bawah pimpinan beliau sangat membanggakan dan menampakkan kejayaan baik,” ujarnya.
Sementara itu, mengulas laporan mengenai amaran China berhubung perjanjian perdagangan Malaysia dengan Amerika Syarikat, Anwar menegaskan tiada sebab untuk khuatir.
“Tidak, tidak. Mereka hanya mahu penjelasan, dan kita sudah berikan,” kata Perdana Menteri.
Beliau menjelaskan bahawa perkara itu telah dibincangkan dengan Perdana Menteri China Li Qiang.
“Saya juga telah menjelaskan kepada Li Qiang bahawa tidak ada apa-apa dalam perjanjian yang menghalang kita daripada terus memperkukuh kolaborasi dengan China,” kata Anwar. – Bernama







