KUALA LUMPUR: Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) disahkan tidak menjejaskan kedaulatan negara selepas penelitian terperinci terhadap kandungannya menunjukkan semua kepentingan nasional kekal terpelihara.
Kesimpulan itu dibuat oleh tiga tokoh keselamatan negara iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral (B) Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zin, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Presiden Kelab Veteran Komando Malaysia Md Shah Yassin selepas menghadiri taklimat khusus Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di sini hari ini bagi memahami secara menyeluruh inti pati perjanjian tersebut.
Zulkifeli berkata penelitian terhadap mukadimah perjanjian itu jelas menyatakan kedua-dua negara berkongsi nilai bersama serta menghormati kedaulatan dan kemakmuran ekonomi masing-masing.
Beliau berkata menerusi perjanjian itu, kerajaan telah memastikan kepentingan nasional sentiasa terjamin dan tiada sebarang klausa dalam perjanjian berkenaan yang menunjukkan bahawa kerajaan menggadaikan prinsip tersebut.
“Terdapat persepsi kononnya kita perlu mendapat kelulusan AS untuk membeli sesuatu (perolehan) namun klausa shall consult dalam perjanjian itu bermaksud kita berunding, bukan bermakna kita mesti mendapat kelulusan daripada AS.
“Jika Malaysia atau AS tidak bersetuju kerana kepentingan negara masing-masing maka kita berhak untuk membatalkan perjanjian tersebut, jadi di manakah maksudnya yang dikatakan bahawa kedaulatan negara kita tergadai,” katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat itu.
Beliau turut menjelaskan bahawa perjanjian itu telah melalui proses sewajarnya yang ketat melibatkan penelitian MITI, Jabatan Peguam Negara dan Jemaah Menteri bagi memastikan kedaulatan negara tidak dikompromi.
“Berdasarkan proses yang dilalui, perjanjian perdagangan timbal balas ini terlebih dahulu diketuai oleh MITI sebelum melalui penelitian terperinci oleh Pejabat Peguam Negara. Keseluruhan perkara kemudiannya akan dibawa ke Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan persetujuan.
“Maka, saya berpandangan bahawa proses sewajarnya telah dipatuhi sepenuhnya, dan saya yakin Pejabat Peguam Negara tidak akan sesekali menggadaikan kedaulatan negara apatah lagi MITI yang dianggotai oleh pegawai tadbir dan diplomatik berpengalaman… mustahil kita akan menggadaikan kedaulatan negara dengan sewenang-wenangnya,” kata beliau.
Sementara itu, Razarudin berkata penjelasan pihak MITI telah meleraikan kebimbangan mengenai dakwaan perjanjian tersebut memberi kesan terhadap kedaulatan negara ini lebih-lebih lagi mukadimah perjanjian itu mewujudkan situasi saling menguntungkan kepada Malaysia dan AS selain memberi kepastian kepada sektor perniagaan untuk menembusi pasaran AS.
“Itu akan meningkatkan ataupun menjana ekonomi syarikat-syarikat dan juga ekonomi negara,” katanya.
Nada sama turut disuarakan oleh Md Shah yang menyifatkan perjanjian itu memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak tanpa mencemarkan maruah negara selepas diberi penerangan oleh pihak MITI.
“Sebagai seorang yang berkhidmat dalam komando selama 22 tahun, saya tidak nampak kedaulatan negara kita tergadai melalui penjelasan yang diberikan,” katanya.
Terdahulu, taklimat terperinci berhubung ART oleh Timbalan Ketua Setiusaha (Perdagangan) kementerian berkenaan Datuk Mastura Ahmad Mustafa berlangsung lebih sejam di Menara MITI di sini.
Malaysia dan AS menandatangani ART pada 26 Okt lepas semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.
Menerusi pemeteraian ART itu, kadar tarif purata terhadap negara diturunkan daripada 25 peratus kepada 19 peratus berserta akses pasaran yang lebih meluas bagi eksport utama negara.







