Azizulhasni Awang mulakan musim dengan emas pecut elit Siri Trek ASEAN, kalahkan pelumba Korea Selatan Kim Geunwoo di Velodrom Nasional.
NILAI: Pelumba berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, memulakan kempen musim ini dengan langkah kanan apabila menjuarai acara pecut elit lelaki pada Siri Trek ASEAN (Piala Presiden) 1 di Velodrom Nasional di sini.
Pelumba yang dikenali sebagai “The Pocket Rocketman” itu meraih pingat emas selepas menewaskan pelumba Korea Selatan, Kim Geunwoo pada perlumbaan akhir.
Terdahulu, aksi final menyaksikan kedudukan seri 1-1 sebelum Azizulhasni mengesahkan kemenangan pada perlumbaan penentuan.
Azizulhasni, yang kini beraksi sebagai pelumba bebas bersama Team Azizul, berkata kejayaan itu penting sebagai persiapan menghadapi beberapa kejohanan utama pada suku pertama tahun ini.
Ia juga merupakan persediaan ke Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland dari 23 Julai hingga 2 Ogos serta Sukan Asia di Aichi-Nagoya, Jepun dari 19 Sept hingga 4 Okt ini.
“Alhamdulillah, keputusan hari ini seperti saya harapkan…ia bukan laluan yang mudah, namun sokongan pasukan serta penyokong di sini menaikkan semangat untuk menang di tempat sendiri,” katanya.
Menurutnya, pengalaman beraksi menentang lawan sama sebelum ini menjadikan perlumbaan berkenaan lebih mencabar.
“Kami pernah berlumba di New Zealand sebelum ini, jadi perlumbaan hari ini agak sukar kerana dia tahu taktik saya dan saya perlu membuat sedikit penyesuaian. Secara keseluruhannya, ia perlumbaan yang baik,” katanya kepada pemberita.
Pingat gangsa acara itu menjadi milik pelumba kebangsaan, Muhammad Ridwan Sahrom yang menewaskan Cheuk Hei To dari Hong Kong.
Dalam perkembangan lain, Azizulhasni yakin pelumba negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom mampu kembali beraksi dengan prestasi yang lebih baik selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut kanan.
Beliau berkata setiap pertemuan dengan Muhammad Shah menyaksikan pelumba itu sentiasa menunjukkan sikap positif dan semangat tinggi untuk kembali mewakili negara.
Sementara itu, acara pecut elit wanita menyaksikan penguasaan pelumba negara apabila Nurul Izzah Izzati Mohd Asri meraih pingat emas.
Beliau menewaskan rakan sepasukannya, Nurul Alyssa Farid, pada perlumbaan final.
Pingat gangsa pula menjadi milik Anis Amira Rosidi yang menewaskan seorang lagi rakan sepasukan, Yong Ann Tung.








