Mangsa banjir di Pahang dibenarkan pulang, manakala jumlah mangsa di Perak turun kepada 934 orang. Situasi di Selangor kekal dengan 40 mangsa
KUALA LUMPUR: Situasi banjir di Pahang telah pulih sepenuhnya manakala jumlah mangsa di Perak menurun setakat 4 petang tadi.
Di Pahang, semua 31 mangsa daripada 12 keluarga di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Kuantan dan Raub dibenarkan pulang ke rumah.
Bacaan paras air di semua sungai utama negeri itu menunjukkan bacaan di bawah paras bahaya.
Di Perak, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 934 orang daripada 262 keluarga berbanding 995 orang pada pagi tadi.
Daerah Hilir Perak masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 398 orang.
Ia diikuti oleh daerah Bagan Datuk dengan 335 mangsa dan Manjung dengan 201 mangsa.
Di Selangor, jumlah mangsa kekal 40 orang daripada 13 keluarga yang ditempatkan di satu PPS di Kuala Selangor. – Bernama







