KPM komited agih BAP lebih awal tahun depan selepas terima rungutan. Bantuan RM150 untuk 5.2 juta murid mula diedar 11 Jan ini.
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) menzahirkan komitmen untuk mengagihkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) lebih awal bermula tahun depan.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengakui pihaknya menerima rungutan berhubung bantuan tahun ini yang hanya mula diedarkan pada minggu pertama persekolahan.
“Mulai tahun hadapan, kami akan terus perbaiki dan saranan itu kami ambil secara serius,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
BACA: Kerajaan peruntuk RM800 juta untuk bantuan awal persekolahan 2025
Beliau berkata BAP akan diberikan lebih awal supaya persiapan boleh dilakukan lebih awal oleh ibu bapa.
Pada Isnin lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM800 juta bagi menyediakan BAP sebanyak RM150 kepada semua pelajar tahun satu hingga tingkatan enam.
Ibu bapa dikehendaki hadir ke sekolah untuk menerima bantuan berkenaan seawal 11 Jan ini.
BAP adalah bantuan tunai sekali bayar berjumlah RM150 diberikan kepada 5.2 juta murid bagi mengurangkan beban perbelanjaan ibu bapa.
Bagi tahun ini, penyaluran bantuan akan kembali dibuat secara serahan tunai di sekolah melalui program pertemuan antara guru dengan ibu bapa.
“Saya harap ibu bapa ambil RM150 ini untuk keperluan sekolah dan datang ke sekolah ambil bantuan serta berjumpa dengan guru,” kata Fadhlina.
Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata Jemaah Menteri pada petang ini akan membincangkan jangkaan berlaku kenaikan tambang bas sekolah.
Beliau berkata keprihatinan itu akan dibawa untuk dilihat secara keseluruhan.
Terdahulu, media melaporkan Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia menjangkakan berlaku kenaikan tambang bas sekolah susulan peningkatan kos operasi. – Bernama








