Bantuan kerajaan untuk golongan muda 30 tahun ke atas akan diteruskan walaupun had umur belia diturunkan, kata Menteri Belia dan Sukan
KUALA LUMPUR: Semua bantuan kerajaan kepada golongan muda berumur 30 tahun ke atas akan diteruskan walaupun pindaan penurunan had umur belia kepada 30 tahun mula berkuat kuasa pada 1 Januari tahun depan.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata Jemaah Menteri telah meluluskan memorandum Penyelarasan Sokongan dan Bantuan Kerajaan kepada Belia Pasca Penguatkuasaan Penurunan Had Umur.
Beliau berkata kementerian itu membentangkan memorandum tersebut pada mesyuarat Kabinet Jumaat lepas.
“Walaupun mereka tidak lagi dikategorikan sebagai belia, kita akan pastikan bantuan tetap sampai,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.
Yeoh memberi contoh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang mempunyai pelbagai geran untuk golongan muda 30 tahun ke atas.
Beliau berkata mereka masih boleh memohon dana tersebut.
“Dalam sektor pertanian pula, geran-geran khas untuk petani muda akan dikekalkan bagi membantu golongan tersebut,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PH-Bangi) mengenai langkah peralihan yang diambil kementerian.
Soalan itu bertanyakan langkah bagi memastikan golongan rentan berumur 31 hingga 40 tahun terus menerima sokongan melalui program sedia ada.
Penurunan had umur belia kepada 30 tahun dilakukan susulan pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019. – Bernama







