Bekas imam besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad, meninggal dunia pada usia 81 tahun, dengan jenazah akan dikebumikan di Subang Jaya.
KUALA LUMPUR: Bekas Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad, telah meninggal dunia pada usia 81 tahun awal pagi ini.
Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam untuk dimandi dan dikafankan selepas solat Subuh.
Solat jenazah akan diadakan pada pukul 9 pagi sebelum jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam USJ22 di Subang Jaya untuk dikebumikan.
Syaikh Ismail merupakan penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 1443H/2021 Peringkat Kebangsaan.
Beliau juga berkhidmat sebagai Ahli Jawatankuasa Literasi Al Quran Selangor dan Pensyarah Talaqi Lanjutan Tinggi di Akademi Literasi Al Quran Selangor.
Allahyarham yang berasal dari Dungun, Terengganu, merupakan antara pelajar Malaysia pertama yang menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir.
Beliau pernah berkhidmat sebagai Imam Masjid Putrajaya selama lima tahun sebelum dilantik sebagai Imam Besar Masjid Negara.
Syaikh Ismail memegang jawatan Imam Besar Masjid Negara paling lama, dari tahun 2007 hingga 2019.







