Bekas pengerusi NGO Serantau Muslim Mohd Hakim Mohd Nor mengaku tidak bersalah atas enam tuduhan salah guna wang derma kemanusiaan berjumlah RM576,995.
MELAKA: Bekas Pengerusi Badan Bukan Kerajaan (NGO) Serantau Muslim, Mohd Hakim Mohd Nor, didakwa lagi di Mahkamah Sesyen Melaka hari ini atas enam pertuduhan menyalahgunakan harta milik pertubuhan itu.
Mohd Hakim, 39, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Dia dituduh menyalahgunakan wang derma bantuan bagi misi kemanusiaan yang dikutip pertubuhan itu dengan kerjasama NGO di Myanmar, Yaman, Syria dan Palestin berjumlah RM576,995.40.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank Cawangan Merlimau, Jasin antara Jun 2019 hingga Mei 2021.
Tuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan tidak lebih lima tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM mencadangkan jaminan RM200,000 dengan mengambil kira keseriusan kesalahan itu.
Peguam tertuduh memohon jaminan dikurangkan antara RM20,000 hingga RM30,000 memandangkan anak guamnya telah didakwa semalam di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Beliau juga memaklumkan bakal penjamin adalah isteri tertuduh yang berpendapatan RM1,500 sebulan.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM35,000 terhadap Mohd Hakim dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 13 Mac ini untuk sebutan semula kes.
Lelaki itu juga dijangka dituduh di Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak esok berkaitan kes sama.
Semalam, Mohd Hakim dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dakwaan menyalahgunakan wang derma bantuan misi kemanusiaan berjumlah RM207,000 tujuh tahun lepas.








