the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, January 22, 2026
22.1 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Bekas pengetua sekolah agama hadapi 23 tuduhan pecah amanah

Bekas pengetua sekolah agama di Butterworth mengaku tidak bersalah atas 23 tuduhan pecah amanah dana sekolah berjumlah RM138,673.80.

BUTTERWORTH: Bekas pengetua sebuah sekolah agama mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 23 pertuduhan pecah amanah.

Tuduhan itu membabitkan dana sekolah berjumlah RM138,673.80.

Zaidi Salleh, 58, didakwa melakukan kesalahan tersebut antara Julai hingga Disember 2019.

Dia merupakan pengetua sekolah agama itu merangkap Setiausaha Lembaga Pengelola Sekolah ketika kejadian.

Dia membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, Zaidi diamanahkan dengan penguasaan ke atas dana milik sekolah tersebut.

Dia didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan harta tersebut dengan membuat pindahan wang secara dalam talian kepada diri sendiri dan bagi perbelanjaan lain.

Wang berkenaan sepatutnya digunakan untuk tujuan penyelenggaraan sekolah.

Kes dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Ia memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun serta sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee dan Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar.

Noor Azura menawarkan jaminan RM50,000.

Peguam Muhammad Adam Luqman Mohammad Ismail memohon jaminan minimum memandangkan anak guamnya mempunyai tanggungan seorang isteri dan lapan anak.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh juga perlu melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM terdekat.

Dia juga mesti menyerahkan dokumen perjalanan antarabangsa kepada mahkamah hingga kes selesai.

Hakim menetapkan 26 Feb untuk sebutan semula kes.

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories