Menteri Dalam Negeri sebut insiden bot karam di perairan Langkawi melibatkan pendatang Myanmar cerminkan cabaran kemanusiaan serantau
LANGKAWI: Insiden bot karam di perairan sempadan Malaysia-Thailand baru-baru ini tidak boleh dianggap terpencil kerana ia mencerminkan cabaran kemanusiaan dan sosial serantau.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ketidakstabilan berterusan di negara jiran memaksa migran mengambil risiko besar merentasi laut.
“Ia tidak boleh dianggap terpencil kerana ia melibatkan satu ekosistem yang menjadi penyebab atau punca kepada tindakan pendatang tanpa izin meninggalkan negara asal mereka,” katanya dalam sidang media mengenai operasi mencari dan menyelamat mangsa bot karam.
Berdasarkan maklumat awal, semua penumpang bot itu adalah dari Myanmar termasuk individu daripada komuniti yang dipindahkan serta kem pelarian.
Mangsa yang terselamat memaklumkan mereka membayar ejen yang dipercayai sebahagian daripada rangkaian sindiket penyeludupan untuk sampai ke Malaysia.
“Mereka sanggup untuk berada dalam pelayaran yang sangat berbahaya terutama dalam keadaan monsun ketika ini,” katanya.
Langkawi menjadi lokasi pilihan pendaratan kerana kedudukannya strategik berhampiran sempadan Thailand dan dekat dengan daratan.
Polis sedang menyiasat sama ada insiden ini melibatkan sindiket, jenayah terancang dan aktiviti pemerdagangan orang.
Keutamaan pihak berkuasa ketika ini adalah operasi mencari dan menyelamat mangsa yang akan diteruskan untuk tempoh munasabah.
Mengenai keselamatan perairan, Saifuddin berkata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia terus diberi tumpuan terutama penambahan aset seperti helikopter, bot, dron dan sistem radar.
“Semua usaha itu berjaya mengawal kemasukan pendatang tanpa izin yang tinggi melalui perairan ke negara ini,” katanya.
Berdasarkan data APMM dari 2010 hingga 2025, hampir 2,300 orang telah ditangkap di perairan Langkawi. – Bernama






