MetMalaysia ramalkan cuaca panas dan kurang hujan di kebanyakan tempat di Semenanjung, terutama utara, berterusan sehingga 31 Jan ini.
KUALA LUMPUR: Cuaca panas dan kurang hujan dijangka berterusan di kebanyakan tempat di Semenanjung Malaysia sehingga 31 Jan ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menyatakan keadaan itu terutamanya akan melanda bahagian utara Semenanjung.
Ketua Pengarah MetMalaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata penumpuan angin pula dijangka berlaku di Sabah, Labuan dan Sarawak bermula 29 hingga 31 Jan.
“Keadaan ini berpotensi membawa ribut petir berserta hujan lebat dalam jangka masa yang lebih panjang di kawasan berkenaan dalam tempoh tersebut,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa merujuk laman sesawang dan media sosial rasmi MetMalaysia.
Masyarakat juga digalakkan memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.









