the sun malaysia ipaper logo 150x150
Sunday, January 11, 2026
21.4 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Dua kanak-kanak nyaris lemas di kolam renang kondominium

Dua kanak-kanak tujuh tahun kritikal selepas nyaris lemas di kolam renang kondominium Bayan Baru, siasatan polis sedang dijalankan

GEORGE TOWN: Dua kanak-kanak berusia tujuh tahun nyaris lemas di kolam renang sebuah kondominium di Bayan Baru.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi semalam di tingkat 42 premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Anuwal Ab Wahab berkata seorang mangsa dilaporkan kritikal dan dirawat di unit rawatan rapi Hospital Pulau Pinang.

Mangsa seorang lagi telah sedar dan sedang menerima rawatan lanjut di wad kanak-kanak hospital sama.

Polis menerima laporan pada pukul 9 pagi memaklumkan kanak-kanak lelaki dan perempuan itu ditemukan tidak sedarkan diri di tepi kolam renang.

“Berdasarkan siasatan awal, pengadu yang juga ibu kepada kanak-kanak perempuan menerima panggilan telefon daripada adik perempuannya memaklumkan bahawa anak dan anak saudaranya dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di tepi kolam renang,” katanya dalam kenyataan.

Ibu tersebut kemudian membawa kedua-dua mangsa ke sebuah hospital swasta untuk rawatan awal sebelum dirujuk ke HPP.

Pemeriksaan mendapati tiada petugas berada di lokasi semasa insiden itu terjadi.

Semakan rakaman CCTV menunjukkan adik perempuan pengadu membawa kedua-dua mangsa ke kolam renang pada 8.30 pagi.

Mereka kemudian dilihat berjalan dari kolam kanak-kanak ke kolam dewasa sebelum ditemukan tidak sedarkan diri oleh orang awam.

Keluarga mangsa difahamkan datang bercuti dan menginap di sebuah unit inap desa di kondominium terbabit sejak 9 Jan.

Mereka dijangka pulang pada hari kejadian.

Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti sekiranya terdapat unsur kecuaian.

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories