the sun malaysia ipaper logo 150x150
Tuesday, December 30, 2025
28.3 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Dua wanita dan lelaki Myanmar didakwa seludup migran di Bukit Mertajam

Tiga individu termasuk remaja bawah umur didakwa di mahkamah atas pertuduhan seludup lima migran Myanmar di Butterworth.

BUTTERWORTH: Dua wanita tempatan termasuk seorang remaja bawah umur serta seorang lelaki warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan bersama-sama menjalankan aktiviti penyeludupan migran.

Tertuduh, Umi Kalsom Abidin, 29, dan remaja perempuan berusia 17 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Tiada pertuduhan dibacakan terhadap lelaki warga asing, Kyaw Zin Lin, 19, kerana memerlukan khidmat jurubahasa.

Mereka didakwa bersama seorang lagi individu yang masih bebas dengan niat bersama menjalankan aktiviti penyeludupan lima warga Myanmar.

Aktiviti itu didakwa berlaku di tempat letak kereta berhadapan sebuah sekolah di Bukit Mertajam, pada 6.40 petang, 2 Disember lepas.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Amalina Harun tidak menawarkan sebarang jaminan dan memohon tarikh baharu bagi kehadiran jurubahasa Myanmar.

Lelaki Myanmar itu diwakili peguam K. Puvirajan manakala Umi Kalsom dan remaja berkenaan tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 Januari ini untuk sebutan semula kes dan kehadiran jurubahasa Myanmar.

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories