the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, June 25, 2026
21.6 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

PAS tarik diri dari exco baharu Perlis, tawar pimpin PN

PAS tidak sertai barisan exco baharu Perlis pimpinan Abu Bakar Hamzah, semua exco PAS letak jawatan, tawar terajui PN.

KUALA LUMPUR: PAS memutuskan untuk tidak menyertai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) baharu yang akan dibentuk Menteri Besar Perlis Datuk Abu Bakar Hamzah.

Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata semua anggota exco sedia ada daripada parti itu akan melepaskan jawatan sebagai tanda solidariti.

“Ketetapan ini dibuat selepas PAS Pusat meneliti dan menimbang situasi semasa berkaitan Kerajaan Negeri Perlis dan Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan PAS kekal komited untuk mengekalkan kehadirannya dalam Kerajaan Negeri Perlis selaras mandat PRU15.

Takiyuddin menyeru semua pihak mengambil iktibar dan langkah proaktif bagi memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap PN.

“PAS juga menawarkan kesediaan untuk menerajui PN bagi memperkasakan organisasi dan persiapan menghadapi PRN serta PRU-16,” katanya.

Abu Bakar dilantik sebagai Menteri Besar baharu selepas mengangkat sumpah pada Ahad lalu.

Pelantikan itu susulan peletakan jawatan Menteri Besar terdahulu, Mohd Shukri Ramli daripada PAS, pada 25 Disember atas faktor kesihatan.

Takiyuddin menegaskan PAS tetap menghormati lunas undang-undang, prinsip demokrasi dan konsep Raja Berperlembagaan.

Beliau berkata parti itu menghormati kebijaksanaan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail demi kemaslahatan negeri dan rakyat.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan satu mesyuarat khas akan diadakan bagi menentukan pengerusi baharu PN.

Mesyuarat itu susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari ini.

Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan itu melalui kenyataan media di Facebook pagi tadi.

Beberapa pemimpin lain turut meletak jawatan termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung PN berkuat kuasa 1 Januari 2026. 

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings