the sun malaysia ipaper logo 150x150
Monday, January 12, 2026
21.1 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Enam timbalan menteri naik pangkat dalam rombakan kabinet

Enam timbalan menteri dilantik sebagai menteri penuh dalam rombakan kabinet, termasuk Akmal Nasrullah sebagai Menteri Ekonomi.

KUALA LUMPUR: Enam timbalan menteri dan seorang ahli parlimen baharu diangkat sebagai menteri penuh dalam rombakan Kabinet Kerajaan MADANI.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Mohammed Taufiq Johari sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baharu.

Pelantikan itu menggantikan Hannah Yeoh yang bertukar portfolio sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir dilantik sebagai Menteri Ekonomi bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Datuk Seri Rafizi Ramli.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustafa Sakmud pula mengambil tanggungjawab sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak).

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dilantik sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menggantikan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Rafizi dan Nik Nazmi meletak jawatan selepas gagal mempertahankan jawatan dalam pemilihan PKR pada Mei lepas.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pula dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi.

Beliau menggantikan Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang bertukar portfolio sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan dilantik mengetuai Kementerian Sumber Manusia.

Beliau menggantikan Steven Sim yang ditukarkan ke jawatan sama di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hassan pula dilantik sebagai menteri penuh menggantikan Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Anwar berkata langkah berkenaan dilakukan berikutan kekosongan dalam Kabinet dan keperluan untuk membuat sedikit penyesuaian.

“Langkah ini supaya Kabinet dapat bekerja sebagai satu pasukan, menumpukan perhatian kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih segar dan menyelesaikan masalah rakyat,“ katanya.

Pengumuman khas itu disiarkan secara langsung menerusi saluran televisyen dan platform media sosial rasmi. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories