the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, June 25, 2026
23.6 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Enggan jual minyak masak paket, peniaga berdepan tindakan undang-undang

IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita sebanyak 52 kilogram minyak masak paket bersubsidi di sebuah premis di Tanjong Malim semalam.

Pengarahnya Datuk Kamalludin Ismail berkata sepasukan anggota KPDN Cawangan Tapah melakukan tindakan penguatkuasaan pada kira-kira 12 tengah hari di premis berkenaan yang didapati enggan menjual barang kawalan itu.

Beliau berkata tindakan itu hasil maklumat dan aduan daripada individu yang mendakwa peniaga terbabit menyembunyikan minyak masak dan enggan menjual produk tersebut ketika diminta berbuat demikian.

“Bagi memastikan aduan tersebut berasas, anggota KPDN telah melakukan pemeriksaan dengan membuat uji beli melalui Ops Samar. Semasa uji beli dilakukan, jurujual memaklumkan bahawa minyak masak telah habis,“ menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Kamalludin berkata susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota Penguat Kuasa KPDN telah melakukan pemeriksaan menyeluruh ke atas premis terbabit dan menjumpai sejumlah minyak masak paket yang disimpan di ruang kaunter.

Beliau berkata satu arahan pengisytiharan stok di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 kemudian diberikan kepada penyelia premis dan KPDN menyita minyak masak paket terbabit yang dianggarkan bernilai RM130.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings