Exco Pertanian Selangor akan mengadap Sultan Selangor Isnin ini bagi membentangkan rancangan pemusatan industri ternakan babi moden di Bukit Tagar
SHAH ALAM: Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Datuk Izham Hashim dijadualkan mengadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada hari Isnin.
Sesi itu adalah untuk menyembah maklum berhubung pelaksanaan pemusatan industri ternakan babi secara moden di Bukit Tagar, Hulu Selangor.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata sesi itu juga memberi peluang kerajaan negeri membentangkan perincian keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Langkah proaktif oleh agensi penguatkuasaan akan dibentangkan bagi memastikan keselamatan dan kebersihan persekitaran industri itu diperkukuh tanpa kompromi.
“MMKN terdahulu telah mengambil keputusan supaya syarat pengoperasian industri penternakan babi di Selangor diperketat,” katanya dalam satu kenyataan.
Keutamaan diberikan kepada pengurusan sisa yang lebih bertanggungjawab supaya tidak memberi kesan negatif terhadap sistem saliran.
Keputusan itu diambil setelah mengambil kira semua aspek termasuk pandangan agensi teknikal bagi memuktamadkan isu yang berlarutan.
Inisiatif itu penting untuk memelihara kesihatan komuniti, alam sekitar dan sistem saliran serta mengelakkan pencemaran bau.
Industri itu dapat beroperasi secara lebih selamat tanpa kesan sampingan sambil menjaga sensitiviti masyarakat.
Amirudin menegaskan langkah itu merupakan inisiatif yang lebih tersusun untuk mengurus isu sensitif secara berhemah dan menyeluruh.
Perancangan yang diputuskan itu bagi mengimbangi keperluan komuniti dan memperketat aspek kawalan ke arah penyelesaian jangka panjang.
“Kerajaan Negeri menjunjung tinggi kecaknaan, nasihat dan pedoman Sultan Selangor dalam menangani isu ini,” katanya.
Terdahulu, Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita dan tidak bersetuju dengan perancangan kerajaan negeri.
Baginda tidak bersetuju dengan pembenaran operasi penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat bermula tahun ini sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.
Menurut kenyataan Istana Alam Shah, baginda memandang serius keputusan tersebut kerana ia berpotensi melibatkan pembangunan berskala besar.
Projek itu berorientasikan eksport ke luar negara di atas tanah seluas kira-kira 202 hektar.








