the sun malaysia ipaper logo 150x150
Sunday, December 14, 2025
22.1 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

FAM jangka laporan siasatan bebas isu pemain warisan diketahui bulan ini

FAM sedang menunggu laporan jawatankuasa bebas siasatan isu dokumentasi tujuh pemain warisan yang digantung FIFA, dijangka diterima bulan ini

KUALA LUMPUR: Hasil penuh siasatan Jawatankuasa Bebas yang ditubuhkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), berhubung isu dokumentasi membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang dikenakan penggantungan selama 12 bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dijangka diketahui bulan ini.

Pemangku Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata pihaknya juga masih menunggu laporan jawatankuasa berkenaan yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif, sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat oleh badan induk itu. 

“Kita masih menunggu laporan daripada Tun Raus dan saya menjangkakan laporan itu akan diterima dalam bulan ini juga. Daripada laporan itu nanti, kita akan lihat dapatan yang dikemukakan sebelum menentukan langkah seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Kebangsaan Malaysia Specialist Centre (UKMSC) dan FAM di Auditorium Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), di sini, hari ini.

Menyentuh mengenai MoU antara kedua-dua pihak, Mohd Yusoff berkata kerjasama itu merupakan satu program bermanfaat untuk pemain dan tidak menolak kemungkinan untuk meneroka perkara lain bersama UKMSC termasuk aspek pengurusan mental pemain.

Pada Oktober, FAM menubuhkan Jawatankuasa Bebas dengan melantik Tun Md Raus bagi menyiasat isu dokumentasi membabitkan tujuh pemain warisan skuad Harimau Malaya yang dikenakan penggantungan selama 12 bulan oleh FIFA.

Sementara itu, Mohd Yusoff berkata FAM menyerahkan sepenuhnya keputusan berhubung isu dokumentasi tujuh pemain warisan skuad Harimau Malaya kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), selepas semua proses pada peringkat FIFA diselesaikan.

“Dalam keadaan sekarang, pasukan perundangan kita sedang membuat persiapan untuk menghantar semua dokumen yang diperlukan. Saya percaya kita dapat memenuhi prosedur CAS itu pada 18 Dis ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Yusoff berkata urusan FAM dengan FIFA telah berakhir, dan CAS merupakan platform terakhir bagi badan induk itu melengkapkan proses perundangan yang tersedia.

Beliau turut menegaskan keputusan membawa kes itu ke CAS bukan didorong oleh pertimbangan risiko, sebaliknya bagi memastikan semua proses perundangan diselesaikan sepenuhnya.

“Kita sudah habis pada peringkat FIFA dan tiada lagi perkara membabitkan FIFA. Di CAS, ini adalah proses terakhir kita dan ia merupakan badan bebas yang tidak terikat dengan FIFA. Apa juga keputusannya adalah muktamad dan perlu dipatuhi oleh semua pihak,” katanya.

Sebelum ini, FAM mengesahkan telah mengemukakan rayuan kepada CAS berhubung hukuman yang dikenakan FIFA membabitkan isu dokumentasi tujuh pemain warisan, iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Keputusan untuk membawa kes itu ke CAS dibuat susulan FIFA mengeluarkan alasan penuh keputusan Jawatankuasa Rayuan setebal 64 muka surat pada 3 Nov, yang mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA.

Keputusan tersebut menyaksikan FAM didenda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala tujuh pemain terbabit digantung selama 12 bulan dan masing-masing dikenakan denda CHF2,000 (kira-kira RM10,000) setiap seorang. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

Hometown Hainan Coffee to invest RM50m, eyes nationwide expansion

Buoyed by strong local and tourist demand for authentic Malaysian cuisine, Hometown Hainan Coffee is set to open 20 additional outlets across the country as part of a RM50 million expansion strategy over the next five years.
spot_img

Popular Categories