Timbalan Ketua Menteri Sabah Ewon Benedick akan bentang penyelesaian interim kesesakan Pelabuhan Sepanggar ke Kabinet negeri, sebut ia keutamaan utama
KOTA KINABALU: Cadangan penyelesaian interim bagi menangani isu kesesakan di Pelabuhan Sepanggar akan dibentangkan ke Kabinet negeri Sabah dalam masa terdekat.
Timbalan Ketua Menteri III Sabah Datuk Ewon Benedick berkata langkah segera itu perlu memandangkan projek jangka panjang seperti perluasan pelabuhan mengambil masa untuk disiapkan.
Beliau menegaskan isu kesesakan itu kini diletakkan sebagai keutamaan nombor satu Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan.
“Kesesakan di pelabuhan ini memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan, kos logistik serta daya saing industri dan usahawan di negeri ini,” katanya.
Ewon menyertai sebuah prime mover dari depo di Kawasan Perindustrian Kota Kinabalu ke pelabuhan bagi meneliti sendiri situasi sebenar susulan aduan industri.
Hasil tinjauan mendapati aduan yang disuarakan oleh pemain industri adalah berasas dengan beberapa faktor penyumbang dikenal pasti.
Beliau berkata beberapa siri perbincangan akan diadakan bersama pihak berkepentingan sebelum kertas Kabinet dibentangkan.
Ewon turut memberi jaminan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan kelancaran operasi pelabuhan demi menyokong pertumbuhan ekonomi Sabah.
Pelabuhan Sepanggar terletak kira-kira 20 kilometer arah timur laut dari Kota Kinabalu.
Kapasitinya sedang ditingkatkan daripada 500,000 TEU kepada 1.2 juta TEU setahun namun langkah itu berdepan kelewatan. – Bernama








