Festival Kenyir Geopark 2025 sasar 60,000 pengunjung dan jana RM1.2 juta, perkukuh ekosistem pelancongan luar bandar menjelang TMM 2026.
KUALA BERANG: Festival Kenyir Geopark Tahun 2025 anjuran Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dengan kerjasama kerajaan Terengganu, menjadi platform memperkukuh ekosistem pelancongan luar bandar, serta mempromosi Tasik Kenyir sebagai destinasi geopelancongan unggul negara, menjelang Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Rubiah Wang berkata bertemakan “Menyusuri Panorama Tasik”, festival yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini dijangka menjana pulangan ekonomi sebanyak RM1.2 juta, dengan sasaran kehadiran 60,000 pengunjung.
Beliau berkata festival itu juga merupakan antara inisiatif KETENGAH dalam meningkatkan kembali jumlah pelancong ke tasik itu, yang sebelum ini pernah melebihi 800,000 orang setahun.
“Sebenarnya sebelum penularan pandemik Covid-19, pengunjung baik dari dalam dan luar negara di Tasik Kenyir ini pernah mencapai lebih 800,000 orang, tetapi selepas Covid-19 jumlah pengunjung semakin berkurangan.
“Namun begitu ada peningkatan bermula pada 2023 sehingga kini dan pada tahun ini setakat hari ini, jumlah pengunjung lebih 300,000 orang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Kenyir Geopark Tahun 2025, di Pulau Poh, di Tasik Kenyir dekat sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu Datuk Razali Idris dan Pengurus Besar KETENGAH Datuk Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa.
Rubiah berkata sehubungan itu penganjuran Festival Kenyir Geopark Tahun 2025 bukan sahaja membantu mencapai sasaran satu juta pengunjung di Tasik Kenyir pada tahun hadapan, malah ia selari dengan kempen TMM 2026 yang menyasarkan seramai 35.6 juta pelancong antarabangsa ke destinasi pelancongan seluruh negara.
Beliau berkata festival tersebut membuktikan bahawa kawasan desa memiliki potensi besar untuk dikomersialkan, dan ia juga mencerminkan komitmen semua pihak dalam menjadikan luar bandar sebagai pemangkin kemajuan negara.
Rubiah berkata festival yang pertama kali diadakan selepas berakhirnya pandemik Covid-19 itu, mengetengahkan tiga konsep utama iaitu Ekopelancongan Alam Semula Jadi, Warisan dan Kebudayaan, serta Gastronomi Tempatan.
“Konsep ini memperkukuh identiti Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan luar bandar yang menggabungkan keindahan alam, kekayaan budaya dan cita rasa tempatan, sekali gus mencerminkannya sebagai permata pelancongan komuniti yang lestari dan berdaya saing.
“Pada masa yang sama, penganjuran ini berperanan meningkatkan kesedaran terhadap pemeliharaan alam sekitar dan biodiversiti, serta memupuk semangat kebersamaan, kebanggaan dan tanggungjawab masyarakat tempatan terhadap warisan alam dan budaya mereka,” katanya.
Beliau menambah festival tersebut juga diyakini dapat merancakkan aktiviti yang diterjemahkan melalui peningkatan aktiviti keusahawanan, penginapan, pengangkutan dan jualan produk komuniti luar bandar.
Rubiah berkata sebanyak lapan program utama merangkumi 64 aktiviti diatur sepanjang festival tersebut termasuk sukan rakyat; sukan air; jualan usahawan dan Jualan Rahmah MADANI; persembahan kebudayaan dan pentas, serta pameran interaktif.
Dalam perkembangan lain, Rubiah berkata sempena TMM 2026 KKDW menyokong penuh inisiatif kerajaan untuk menjadikan sektor pelancongan sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.
Beliau berkata oleh itu Program Desa Kirana@KKDW menjadi platform penting dalam memperkasakan pelancongan desa secara mampan, inklusif dan bernilai tambah tinggi.
Rubiah berkata setakat ini sebanyak 21 kampung di seluruh negara telah dipilih menyertai Program Desa Kirana@KKDW yang menjadi pemacu utama pembangunan pelancongan desa menjelang TMM 2026.
“Program ini mempakejkan tarikan pelancongan desa sedia ada yang berpotensi ke dalam satu pengalaman pelancongan yang menyeluruh.
“Pendekatan ini membolehkan semua pelancong dapat menikmati kesemua tarikan tersebut secara bersepadu dan program ini juga memberi tumpuan kepada lima elemen utama iaitu warisan dan kebudayaan; tarikan alam semula jadi; gastronomi tempatan; produk tradisional; serta pengalaman kehidupan desa.
“Bagi Terengganu, Tasik Kenyir merupakan manifestasi nyata konsep ini iaitu pelancong bukan sahaja menikmati keindahan semula jadi dan biodiversiti, tetapi turut merasai kehangatan hospitaliti komuniti melalui pengalaman menginap di inap desa, rumah bot dan aktiviti pelancongan berasaskan komuniti,” katanya. – Bernama










