Gabungan Nasionalis tubuh majlis mitra untuk perkasa martabat bahasa dan budaya Melayu sebagai teras jati diri negara
KUALA LUMPUR: Usaha memperkukuh kedudukan bahasa dan budaya Melayu sebagai teras jati diri negara akan diperkasakan melalui pemasyhuran Majlis-Majlis Mitra Gabungan Nasionalis.
Majlis tersebut menjadi wadah penyatuan perjuangan nasionalisme Melayu.
Ia merangkumi Majlis Bahasa Negara yang dipengerusikan oleh tokoh bahasa Senator Datuk Seri Prof Dr Awang Sariyan.
Majlis Budaya dan Warisan Negara pula dipengerusikan oleh Pensyarah Universiti Putra Malaysia Datuk Dr Abdul Mua’ti Ahmad.
Majlis Pendidikan Bumiputera Negara dipengerusikan oleh bekas Profesor Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron.
Manakala Majlis Perundangan Negara dipengerusikan oleh Pensyarah Undang-Undang UIAM Prof Madya Datuk Dr Shamrahayu A. Aziz.
Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim meluahkan kebimbangan mengenai penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan orang Melayu sendiri yang semakin merosot.
“Keadaan ini memberi kesan terhadap kelangsungan budaya dan jati diri bangsa,” katanya ketika merasmikan majlis berkenaan.
Beliau menegaskan keperluan penyelesaian menyeluruh untuk mengembalikan martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, budaya, dan kehidupan.
Pengerusi Gabungan Nasionalis, Aminuddin Yahaya, berkata kelemahan penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda perlu ditangani secara serius.
“Kelemahan ini memberi impak langsung kepada pendidikan, kebolehpasaran pekerjaan, dan kepimpinan negara,” katanya.
Untuk itu, Gabungan Nasionalis menubuhkan sebuah institut kepimpinan bagi melahirkan barisan pemimpin muda berilmu.
Institut itu bertujuan melahirkan pemimpin yang berjati diri dan berpaksikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan kepimpinan.








