Senator minta kerajaan serius isu gaji rendah pekerja OKU dan cadang subsidi petrol berasaskan lokasi untuk penduduk pedalaman.
KUALA LUMPUR: Senator meminta kerajaan memberikan perhatian serius terhadap isu pembayaran gaji rendah dalam kalangan pekerja Orang Kurang Upaya (OKU).
Isaiah Jacob berkata beliau menerima keluhan bahawa gaji sebanyak RM1,200 sebulan tidak memadai untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Dengan bayaran RM1,200, adakah mampu mereka ini terutama yang sudah berkahwin dan ada anak hendak membeli barangan dan sebagainya?” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan 2026) di Dewan Negara.
Beliau memohon Kementerian Kewangan mengambil tindakan demi kelangsungan hidup golongan tersebut.
Jacob turut meminta agar kerajaan meningkatkan bayaran gaji petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) supaya selaras dengan gaji minimum semasa.
Langkah itu selaras dengan kenyataan Kementerian Sumber Manusia bahawa penyelia dan petugas PPDK adalah pekerja yang tertakluk di bawah Akta Kerja 1955.
Sementara itu, Senator Norhasmimi Abdul Ghani mencadangkan pelaksanaan subsidi berdasarkan lokasi bagi memastikan penduduk pedalaman mendapat akses setara kepada petrol bersubsidi.
Beliau berkata masih terdapat kelompok yang tercicir terutama di kawasan pedalaman perkampungan Orang Asli dan Felda yang jauh dari stesen minyak.
“Jarak perjalanan jauh ke pekan atau bandar terdekat untuk mendapatkan petrol bersubsidi menyebabkan mereka menanggung kos tambahan,” katanya.
Norhasmimi turut mencadangkan perluasan penyediaan stesen pengisian komuniti termasuk menambah jumlah stesen minyak bergerak.
Beliau mencadangkan kerjasama dengan koperasi kampung, Felda atau pusat komuniti bagi mewujudkan model pengedaran mikro yang terkawal untuk mengelak ketirisan.
Pendekatan ini akan memastikan penduduk luar bandar mendapat akses setara kepada subsidi dan tidak bergantung kepada penjual tidak sah.







