the sun malaysia ipaper logo 150x150
Friday, December 19, 2025
22.3 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

GLC Sabah gagal lima tahun berturut-turut berdepan penutupan

Ketua Menteri Sabah beri amaran GLC dan badan berkanun yang gagal catat keuntungan lima tahun berturut-turut akan ditutup jika tiada prospek pulih.

KOTA KINABALU: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun Sabah yang gagal mencatat keuntungan selama lima tahun berturut-turut berdepan kemungkinan ditutup sekiranya tiada prospek pulih.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor (gambar) berkata GLC dan badan berkanun terbabit akan dinilai oleh Jawatankuasa Perunding dan Pengawasan Badan Berkanun Negeri dan Syarikat Kerajaan Negeri (JPP-KKNS) untuk tindakan selanjutnya.

“Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan arahan penutupan sekiranya GLC berkenaan tidak menunjukkan sebarang prospek untuk pulih,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan setiap badan berkanun dan GLC bertanggungjawab mematuhi kadar pembayaran dividen minimum sedia ada iaitu 10% daripada keuntungan selepas cukai.

“Saya menjangkakan semua GLC menunjukkan disiplin kewangan serta komitmen penuh dalam memenuhi kewajipan ini,” katanya pada majlis penyampaian dividen dan sumbangan GLC di Menara Kinabalu.

Hajiji berkata bermula tahun hadapan, beliau mahu melihat peningkatan tahap sumbangan tahunan daripada GLC antara sekitar RM2 juta hingga RM10 juta bergantung kepada keupayaan dan prestasi syarikat.

Beliau turut mengumumkan semua ketua pegawai eksekutif, pengurus besar kumpulan dan pengurus besar GLC serta badan berkanun diwajibkan mengemukakan laporan prestasi bertulis suku tahunan terus kepadanya bermula tahun hadapan.

“Laporan tersebut mesti merangkumi kemajuan projek, status kewangan, pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) serta tahap kecekapan operasi,” katanya.

Beliau memberi amaran mana-mana pihak yang gagal mengemukakan laporan, tidak mencapai KPI atau menunjukkan prestasi tidak memuaskan akan disemak kedudukannya termasuk kemungkinan diganti atau ditamatkan perkhidmatan.

Berdasarkan laporan semasa, prestasi keseluruhan GLC masih berada pada tahap sederhana dengan jumlah dividen dan sumbangan yang dibayar kepada Kerajaan Negeri berjumlah RM125.3 juta.

Jumlah itu adalah lebih rendah berbanding jumlah tertinggi yang direkodkan pada 2022 iaitu RM156.31 juta.

“Walaupun angka ini menunjukkan sumbangan masih positif, saya percaya potensi sebenar agensi milik kerajaan adalah jauh lebih besar daripada apa yang telah dicapai setakat ini,” katanya.

Hajiji berkata objektif utama adalah menjadikan GLC sebagai pemangkin ekonomi yang cekap dan dipercayai menerusi pengurusan yang berwibawa bagi menjana pendapatan dan nilai yang lebih tinggi untuk rakyat dan negeri.

Pada majlis itu, Hajiji menerima replika cek daripada pelbagai GLC dan badan berkanun negeri berjumlah RM131.6 juta.

SMJ Energy Sdn Bhd merupakan pembayar dividen terbesar bernilai RM50 juta dan RM1 juta sumbangan untuk Jawatankuasa Bencana Alam Negeri. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories