Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor menegaskan GRS perlukan mandat baharu rakyat untuk teruskan agenda pembangunan melalui Hala Tuju SMJ
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memerlukan mandat baharu daripada rakyat untuk meneruskan perancangan pembangunan bagi menjadikan Sabah setanding dengan negeri lain.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata kerajaan negeri telah meletakkan asas kukuh untuk memacu Sabah sebagai negeri unggul melalui dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0.
“Sepanjang lima tahun lepas, kerajaan negeri pimpinan GRS telah mencapai banyak kejayaan melalui pelan pembangunan Hala Tuju SMJ,” katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan jentera pilihan raya GRS Sulaman di Dewan Rumpun Bajau Samah, Kampung Lok Batik di Tuaran.
Hajiji menekankan kerajaan mengutamakan pembangunan rakyat dan berjuang meningkatkan taraf hidup golongan miskin serta pendidikan anak-anak Sabah.
Beliau menyatakan inisiatif memberikan RM300 sebulan kepada kira-kira 100,000 ketua isi rumah miskin tegar dalam senarai e-Kasih bermula tahun ini tidak pernah dilakukan kerajaan sebelum ini.
Kerajaan negeri juga menyediakan 40 unit Rumah Mesra SMJ secara percuma di setiap Dewan Undangan Negeri kepada golongan memerlukan.
“Kami bukan kerajaan yang hanya tahu bercakap, menipu dan menjanjikan bulan dan bintang,” tegas Hajiji yang berdepan pertandingan lima penjuru dalam usaha mempertahankan DUN Sulaman.
PRN Sabah ke-17 menyaksikan 596 calon bertanding merebut 73 kerusi DUN, sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Hajiji yakin rakyat akan mengundi dengan bijak dan menyatakan jentera pilihan raya GRS di DUN Sulaman sudah bersedia menghadapi pilihan raya.
Beliau mengarahkan jentera parti turun padang untuk menerangkan sumbangan, pencapaian dan perancangan GRS kepada semua pengundi. – Bernama






